HomeUtama132 PATI dihantar pulang ke negara asal

132 PATI dihantar pulang ke negara asal

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.

Daripada jumlah itu, 115 adalah warga Filipina yang ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau sebelum dihantar melalui Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Mereka terdiri daripada 59 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 18 kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan berusia antara enam bulan hingga 57 tahun.

Pada hari sama, seramai 17 PATI warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan feri komersial.

Kumpulan itu terdiri daripada 13 lelaki dewasa, dua wanita dewasa serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara satu hingga 68 tahun.

Kanak-kanak yang menyertai program pemindahan berkenaan diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata seramai 4,580 tahanan PATI pelbagai kewarganegaraan sudah dihantar pulang pulang ke negara asal setakat ini.

“Jumlah itu membabitkan 3,004 warga Filipina, Indonesia (1,334), Pakistan (113), China (92), Vietnam (18) dan 19 daripada negara lain.

“Kesemua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai Dokumen Perjalanan (TD) dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan ke negara asal,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Dalam pada itu, JIM Sabah menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap persekitaran komuniti serta tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai turut diminta segera melaporkan kegiatan berkaitan PATI menerusi saluran rasmi JIM Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

403 anggota penguatkuasa sertai sambutan Hari Pahlawan Sabah 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular