HomeUtamaKKM berdepan kekurangan 10,557 jururawat di seluruh negara

KKM berdepan kekurangan 10,557 jururawat di seluruh negara

Read Time:3 Minute, 9 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan kekurangan 10,557 jururawat di seluruh negara, sekali gus memerlukan langkah segera untuk memperkukuh tenaga kerja kejururawatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus dapat diberikan secara berkesan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu membabitkan kekosongan daripada keseluruhan 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5 di fasiliti kesihatan ketika ini.

Katanya, KKM menyedari beban kerja yang ditanggung petugas kesihatan susulan kekurangan tenaga kerja berkenaan, namun penyelesaiannya memerlukan pendekatan menyeluruh dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat.

“Kita sedar dan insaf mengenai beban kerja yang ditanggung petugas kesihatan akibat kekurangan kakitangan.

“Namun isu ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat kerana melibatkan pelbagai faktor dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2026 Zon Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Menurutnya, kekurangan tenaga jururawat itu turut menjadi antara faktor berlakunya syif berganda atau double shift di beberapa fasiliti kesihatan.

Bagi menangani isu berkenaan, Dzulkefly berkata KKM menggariskan tiga strategi utama reformasi tenaga kerja iaitu meningkatkan pengeluaran graduan, memperluas laluan kerjaya serta melaksanakan pengambilan terus dan autonomi dalam pengurusan perjawatan.

Katanya, pengambilan jururawat pelatih telah dilipatgandakan kepada 3,000 orang setahun bermula 2025.

“Bagi memperluas strategi ini, KKM menyasarkan untuk menyumberluarkan sehingga 2,000 pelatih setahun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS),” katanya.

Selain itu, empat cawangan ILKKM di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang akan dibuka semula menjelang Oktober 2027.

Pembukaan semula cawangan itu akan menambah kapasiti kira-kira 500 pelatih, sekali gus menjadikan kapasiti keseluruhan program Diploma Kejururawatan kepada 5,500 pelatih setahun.

Dalam usaha memperluas laluan kerjaya, KKM juga akan memulakan 15 Program On-The-Job Training (OJT) pada September ini.

Program itu membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh yang lama.

KKM turut memperluas laluan untuk Jururawat Masyarakat menjadi jururawat menerusi Diploma Peralihan.

Sementara itu, langkah pengambilan terus turut diperkukuh selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim.

Dzulkefly berkata, keputusan itu membolehkan semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia diserap terus ke jawatan tetap.

“Selain itu, sejak 9 Julai 2026, KKM juga telah diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bagi mengelakkan birokrasi, sekali gus memastikan graduan ditempatkan terus di lapangan,” katanya.

Dalam masa sama, KKM melaksanakan pendekatan Integrated Clinical Management Care yang melibatkan perkongsian kepakaran dan tenaga jururawat antara klinik kesihatan dan hospital.

Menurut Dzulkefly, pendekatan itu antara usaha kementerian mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada sementara langkah menambah jumlah jururawat dilaksanakan.

KKM turut memberi perhatian terhadap kebajikan petugas kesihatan, termasuk cadangan menyediakan kemudahan taska di fasiliti kesihatan.

Katanya, kemudahan itu penting bagi membantu jururawat dan petugas kesihatan yang mempunyai anak kecil supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang dan produktif.

Sementara itu, ILKKM berjaya melahirkan 6,987 graduan pada 2026, termasuk 924 graduan Zon Sabah yang menerima skrol pada istiadat konvokesyen hari ini.

Istiadat itu turut dihubungkan secara langsung dengan 5,117 graduan di Zon Semenanjung dan 946 graduan di Zon Sarawak.

Pada istiadat berkenaan, graduan terbaik diraikan menerusi Anugerah Perdana yang diterima Alden Ker Ming Vui, graduan Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan yang kini bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Turut disampaikan Anugerah Emas Cemerlang Akademik dan Anugerah Emas Cemerlang Kokurikulum, selain dua anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Kepimpinan Terbaik.

Bertemakan “Graduan ILKKM Tonggak Reformasi Kesihatan MADANI”, konvokesyen itu mencerminkan komitmen KKM untuk melahirkan tenaga profesional kesihatan yang berkualiti, berkemahiran dan mampu menyokong keperluan sistem kesihatan negara.

Dzulkefly turut menyeru semua graduan supaya menjaga maruah profesion dan melaksanakan amanah dengan penuh ihsan ketika memulakan perkhidmatan.

Beliau berkata, KKM akan terus memperkukuh sumber tenaga kesihatan bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, terbaik dan inklusif.

RELATED ARTICLES
Utama

SUKMA XXII : Futsal lelaki Sabah buka aksi kumpulan dengan kemenangan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular