Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sebanyak 180 kontinjen dijangka menyertai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah 2026 yang akan berlangsung di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu pada 31 Ogos ini.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penyertaan itu melibatkan agensi kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, persatuan serta pelbagai organisasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 berkata, acara perbarisan dan perarakan berjalan lalu akan bermula seawal jam 6 pagi.
“Penyertaan yang begitu besar ini mencerminkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Sabah dalam meraikan hari yang bersejarah ini,” katanya pada Sidang Media Khas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini hari ini.
Menurut Masidi, pada pagi 31 Ogos, Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan berlangsung di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, dengan semua kontinjen perbarisan mengambil tempat bermula jam 6.30 pagi, diikuti ketibaan tetamu dan dif kehormat.
Kemuncak acara akan bermula dengan keberangkatan tiba Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
“Pada sebelah malam pula, kita akan meneruskan sambutan dengan Sambutan Hari Sabah 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.
“Menariknya, orang ramai boleh hadir lebih awal kerana acara preshow akan bermula seawal jam 5 petang, dengan pelbagai pengisian dan persembahan bagi memeriahkan suasana,” katanya.
Masidi berkata, konsep Sambutan Hari Sabah 2026 memberi penekanan kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri, selain membawa mesej untuk melihat ke hadapan.
Katanya, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi kesempatan untuk rakyat menghayati sejarah, menghargai perjuangan generasi terdahulu serta membina keyakinan terhadap masa depan Sabah dalam Malaysia.
“Memahami sejarah bukan bermaksud kita hanya melihat ke belakang, tetapi supaya kita lebih menghargai apa yang telah dicapai dan memahami tanggungjawab kita untuk menentukan apa yang mahu dicapai selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, generasi muda Sabah perlu diberikan ruang dan peluang untuk menjadi peserta, penyumbang serta penggerak kepada pembangunan negeri, bukannya sekadar menjadi penonton.
Dalam pada itu, Masidi berkata kekuatan terbesar Sabah ialah perpaduan dalam kepelbagaian yang perlu terus dipertahankan.
“Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang masyarakat Sabah bukan sesuatu yang memisahkan kita, sebaliknya merupakan aset yang menyatukan dan memperkayakan negeri ini,” katanya.
Sambutan tahun ini turut membawa tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, yang menekankan bahawa pembangunan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan yang benar-benar dirasai rakyat.
Menurut Masidi, dalam konteks Sabah, kesejahteraan bukan hanya melibatkan pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti, pertumbuhan ekonomi, kemudahan asas, keselamatan serta perkhidmatan awam yang cekap.
Beliau berkata, semua jawatankuasa yang dilantik kini giat melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan sambutan pada 31 Ogos berjalan teratur dan lancar, termasuk aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, kebersihan, penyertaan kontinjen serta pengurusan keseluruhan acara.
Masidi turut menyeru peserta dan orang ramai yang hadir supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan.
“Saya menjemput seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira usia, kaum, agama atau latar belakang, untuk bersama-sama hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.
“Jadikanlah sambutan ini bukan sahaja sebagai satu perayaan, tetapi sebagai kesempatan untuk kita menghayati erti kemerdekaan, menghargai sejarah serta memperkukuh perpaduan sesama kita,” katanya.



