KOTA KINABALU: Sabah FC secara rasmi memperkenalkan jersi baharu bagi musim 2026/2027 yang menampilkan elemen motif etnik Sabah sebagai identiti utama pasukan dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di sini, pada Jumaat.
Jersi yang dilancarkan bersama penaja utama, Carino itu bukan sahaja menampilkan rekaan moden dan dinamik, malah mengetengahkan warisan budaya negeri melalui penggunaan corak etnik yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Sabah.
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang berkata, jersi baharu berkenaan membawa makna yang lebih besar daripada sekadar pakaian rasmi pasukan, sebaliknya mencerminkan semangat perjuangan, identiti serta aspirasi Sabah FC untuk musim baharu.
Menurutnya, setiap kali pemain menyarung jersi itu, mereka bukan sahaja mewakili kelab tetapi turut membawa harapan dan maruah seluruh rakyat Sabah.
“Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan, tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah. Kami mahu para pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang.
“Motif yang ditampilkan pada jersi ini juga mencerminkan keunikan budaya dan identiti Sabah yang sentiasa menjadi kebanggaan kita semua,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran jersi baharu itu menjadi simbol permulaan kepada cabaran musim 2026/2027 yang dijangka lebih sengit, dengan Sabah FC bertekad untuk terus memperkukuhkan kedudukannya dalam saingan bola sepak negara.
Dalam pada itu, Awang Kadin turut merakamkan penghargaan kepada Carino atas komitmen berterusan sebagai penaja utama jersi Sabah FC musim ini.
Katanya, kerjasama berkenaan membuktikan keyakinan sektor korporat terhadap potensi dan hala tuju kelab, selain membantu memperkukuhkan pembangunan bola sepak Sabah secara keseluruhan.
“Kerjasama ini amat penting dalam memastikan Sabah FC terus berkembang sebagai sebuah kelab yang profesional dan berdaya saing.
“Kami menghargai sokongan yang diberikan oleh Carino dan berharap hubungan ini akan terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai musim baharu, beliau menegaskan Sabah FC komited untuk meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuhkan struktur pengurusan kelab serta memberi perhatian kepada pembangunan bakat-bakat tempatan.
“Kami mahu Sabah FC bukan sahaja berjaya di atas padang, tetapi turut menjadi sebuah kelab yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut dimeriahkan dengan sesi Meet & Greet bersama pemain Sabah FC yang memberi peluang kepada penyokong untuk melihat lebih dekat jersi baharu pasukan serta berinteraksi dengan pemain kegemaran mereka. – SABAH MEDIA



