HomeSukanSUKMA XXII : Tiga regu Sabah buru emas sepak takraw

SUKMA XXII : Tiga regu Sabah buru emas sepak takraw

Read Time:1 Minute, 59 Second

PUCHONG: Skuad sepak takraw Sabah berpeluang menghadiahkan sehingga tiga pingat emas kepada kontinjen negeri apabila tiga pasukannya berjaya mara ke perlawanan akhir pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Arena MBPJ Puchong, di sini pada Jumaat.

Kejayaan melangkah ke pentas akhir itu menyaksikan Sabah menjadi antara kuasa utama dalam acara sepak takraw kali ini dengan cabaran emas hadir menerusi kategori beregu lelaki, beregu wanita dan kuadran wanita.

Harapan pertama Sabah terletak pada pasukan beregu lelaki yang dibarisi Norkhman Duraman, Wan Mohamad Zulhakim Wan Sablee dan Wan Syahrul Ramadhan.

Gandingan itu dijangka menjadi sandaran utama Sabah untuk menambah koleksi emas selepas mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang kempen pertandingan sehingga berjaya menempah tempat ke final.

Sementara itu, skuad wanita turut mencuri tumpuan apabila dua pasukan berjaya mara ke perlawanan akhir dalam kategori berbeza.

Bagi acara kuadran wanita, Sabah mempertaruhkan Fisydiana Farodani, Mersyella Daisy Abal, Nur Anis Alia Lair, Nur Syafieha Odi dan Nurhazrayanne Ari Rohaizan untuk memburu kejuaraan.

Dalam kategori beregu wanita pula, tugas membawa cabaran negeri digalas oleh Fieorylla Faradona, Nazira Han Iskandar dan Nedyeeshani Samaan.

Ketiga-tiga pasukan Sabah dijadual beraksi dalam perlawanan akhir bermula jam 5 petang, sekali gus membuka peluang cerah kepada kontinjen negeri untuk meraih tiga emas dalam satu sesi pertandingan.

Pencapaian itu juga membuktikan program pembangunan sepak takraw Sabah terus berada di landasan terbaik apabila mampu melahirkan pemain yang berdaya saing di peringkat kebangsaan.

Selain Sepak Takraw, Sabah turut meletakkan sasaran pingat emas menerusi skuad akuatik renang; petanque dan tenpin boling.

Tumpuan utama terarah kepada perenang wanita Sabah, Chu Xin Ying yang bakal beraksi dalam acara akhir 800 meter (m) gaya bebas di Pusat Akuatik Darul Ehsan.

Beliau disenaraikan sebagai satu-satunya prospek emas Sabah dalam sukan renang bagi hari berkenaan.

Selain itu, skuad petanque Sabah turut membawa harapan tinggi apabila dua pasukan wanita mara ke pentas akhir acara triple yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Selangor.

Pasukan pertama dibarisi Leeyana Fitriyalesya Kamrudin, Putri Ara Aryanna Abdullah dan Hadis Hennera Vennice, manakala pasukan kedua terdiri daripada Nurul Aina Ali Asmat, Siti Noor Elyshafli Balqish dan Siti Nur Viviana Chia.

Turut berpeluang menyumbang emas ialah pasukan tenpin boling wanita Sabah yang mara ke final acara berpasukan di Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

Pasukan itu dibarisi Chloe Roi Rui Zhi, Chong Yi Wen Natalie, Dhaniya Marissa Aleya Darhman, Nur Aleeya Syahirah Awang Ali, Nur Jeeyah Iezzaty Suffian dan Nur Wardina Polin. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

AWCL : Dua gol Enzi bantu Sabah tewaskan Rajshahi Stars

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular