HomeUtamaADUN Pitas, isteri dan anak rasmi peluk Islam

ADUN Pitas, isteri dan anak rasmi peluk Islam

Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh Normimie Diun

PITAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah, 58, bersama isterinya, Datin Seri Asiah Udian, 56, dan anak bongsu mereka, Aswady Ruddy, 24, rasmi memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah dalam satu majlis di kediaman mereka di Kampung Salimpodon, di sini, hari ini.

Ruddy bersama isteri Asiah dan anak lelakinya Aswady selepas Majlis Lafaz Syahadah di kediaman mereka di Kg Salimpodon di sini, pada Ahad.

Majlis berkenaan berlangsung dua hari menjelang sambutan Maal Hijrah dan disempurnakan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar serta disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, yang turut menjadi saksi bagi proses menandatangani dokumen berkaitan.

Selepas lafaz syahadah, majlis diteruskan dengan tazkirah oleh Datuk Bungsu, laungan azan, bacaan al-Quran serta selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Berkongsi detik penghijrahan itu, Ruddy berkata keputusan memeluk Islam merupakan hasil perjalanan mencari hidayah selama kira-kira 10 tahun dan dibuat tanpa paksaan, ugutan atau kepentingan politik.

“Ini semua hidayah yang sampai. Saya sangat gembira apabila melafazkan dua kalimah syahadah. Apa yang saya kejar sekarang ialah pegangan hidup kerana segala yang ada di dunia hanya sementara, manakala yang kekal ialah amal ibadah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.

Beliau berkata, empat daripada enam anaknya sudah terlebih dahulu memeluk Islam, manakala keputusan beliau, isteri dan anak bongsunya dibuat atas kerelaan sendiri.

Menurutnya, isterinya juga beberapa kali mengajaknya memeluk Islam, terutama selepas melihat anak-anak dan saudara-mara mereka terlebih dahulu memeluk agama berkenaan.

“Anak-anak kita sudah Islam, saudara-mara sudah Islam. Saya juga sering menghadiri majlis berbuka puasa dan banyak terlibat dengan perkara berkaitan Islam.

“Kalau kaki kiri saya sudah berada dalam Islam, saya cuma mahu melangkah masuk sepenuhnya,” katanya.

Ruddy berkata, beliau sebelum ini turut bersedekah kepada individu yang menunaikan haji dan umrah sambil berdoa agar diberi kesempatan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Saya minta tolong, panggil saya ke Makkah. Syukur kepada Tuhan, Allah memakbulkan doa-doa saya. Akhirnya, saya memeluk agama Islam,” katanya.

Beliau turut menegaskan keputusan berkenaan dibuat dengan penuh rasa hormat terhadap agama lain serta mendapat restu keluarga.

“Saya hormat kepada agama lain. Sebelum ini, saya pergi kepada keluarga-keluarga yang bukan Islam untuk memohon restu dan mereka memberikan restu kepada kami,” katanya.

Ruddy turut menyatakan hasrat mendalami ilmu Islam, termasuk belajar mengaji, selain merancang menunaikan umrah tahun ini.

“Saya mahu belajar dan memahami Islam dengan lebih mendalam. Insya-Allah, saya juga mahu menunaikan umrah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan penghijrahan Ruddy sebagai satu detik bermakna dan berkata beliau hadir untuk memberikan sokongan moral kepada ADUN berkenaan.

“Alhamdulillah, syukur. Saya dapat bersama-sama dalam majlis yang cukup bermakna atas penghijrahan dan kemasukan Yang Berhormat Datuk Ruddy Awah yang memeluk agama Islam.

“Ini adalah sesuatu yang saya rasa beliau mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi kita beri beliau sokongan moral.

“Saya tidak mahu perkara ini dijadikan isu kerana ini adalah pilihan peribadi di antara beliau dengan Allah SWT,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim di sekitar Pitas.

Ruddy bersama isteri dan anaknya kemudian menunaikan solat Zohor secara berjemaah, yang menjadi solat Zohor pertama beliau selepas memeluk Islam.

Majlis diteruskan dengan beramah mesra dan jamuan makan bersama tetamu jemputan serta penduduk setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa hadiri majlis sempena Hari Malaysia di Masjid Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular