KOTA KINABALU: Impian Sabah FA untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada wakil India, East Bengal FC, dalam aksi penentuan Kumpulan A Peringkat Awal di Stadium Likas, malam Ahad.
Kekalahan itu menyaksikan skuad wanita Sabah menamatkan kempen mereka di peringkat kumpulan, manakala East Bengal FC muncul juara Kumpulan A dan mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya pertandingan berprestij itu.
Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, East Bengal berjaya memecahkan kebuntuan menerusi Olivia Anokye pada minit ke-67 sebelum Soumya Guguloth menambah gol kedua pada minit ke-86 untuk memastikan kemenangan pasukan pelawat.
Sabah yang turun dengan misi wajib menang bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan seterusnya berusaha memberikan tentangan sengit, namun gagal menembusi benteng pertahanan lawan yang tampil lebih tersusun sepanjang perlawanan.
Sebaliknya, East Bengal hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan kemaraan berikutan kelebihan jaringan yang dimiliki selepas mencatat kemenangan besar dalam dua perlawanan terdahulu.
Kemenangan itu membolehkan kelab dari India berkenaan menamatkan saingan Kumpulan A dengan rekod sempurna sembilan mata daripada tiga perlawanan tanpa kalah.
Sebelum ini, East Bengal menewaskan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh 4-0 dan membelasah Rovers FC dari Guam 12-0, sekali gus muncul antara pasukan paling dominan dalam peringkat awal kejohanan.
Walaupun gagal mara, Sabah FA tetap boleh berbangga dengan pencapaian mereka dalam penampilan di pentas AWCL apabila mencatat dua kemenangan daripada tiga perlawanan.
Sabah FA membuka kempen dengan kemenangan besar 13-0 ke atas Rovers FC sebelum menundukkan Rajshahi Stars FC 2-1 menerusi dua jaringan penting penyerang import, Enzi Hekima. – SABAH MEDIA



