SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan tiang elektrik di Bandar Tabin Jaya, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.53 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi.
Katanya, jentera tiba di lokasi pada jam 8.03 malam, kira-kira sembilan kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba, mangsa yang dipercayai pekerja kontraktor elektrik didapati masih berada di atas tiang elektrik selepas terkena renjatan ketika menjalankan kerja pemasangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dengan menurunkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat.
“Mangsa berjaya diturunkan dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan KKM mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut melibatkan lima anggota Sabah Electricity, dua anggota PDRM dan dua anggota KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.



