KUDAT: Seramai 1,500 peserta daripada pelbagai peringkat usia menyertai program Langkah Jiwa Merdeka di sini, Ahad, dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran sempena sambutan Bulan Kebangsaan itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebagai sesi pemanasan badan sebelum peserta meneruskan perjalanan sejauh tiga kilometer bermula dari perkarangan Dewan Terbuka Tomborungus.
Pelepasan peserta disempurnakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin, yang juga Ketua Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026.

Sepanjang perjalanan, peserta membawa Jalur Gemilang dan bendera Sabah sambil diiringi lagu-lagu patriotik yang diperdengarkan oleh unit Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah.
Suasana berkenaan bukan sahaja memeriahkan program, malah menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain aktiviti berjalan kaki, beberapa agensi kerajaan turut mengambil bahagian dengan membuka reruai bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan serta maklumat kepada masyarakat setempat.
Antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat, Jabatan Pertanian Sabah Daerah Kudat dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kudat.
Penyertaan agensi berkenaan memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta maklumat berkaitan penjagaan kesihatan, pertanian dan pencegahan penyalahgunaan dadah.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk pengunjung, termasuk permainan flying fox anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kudat.
Hospital Kudat pula menganjurkan kempen derma darah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah bagi membantu memenuhi keperluan bekalan darah hospital.
Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan khas untuk peserta sebagai tarikan tambahan sepanjang berlangsungnya program.
Penganjuran Langkah Jiwa Merdeka dilihat bukan sahaja menjadi platform menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, malah menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan.
Program berkenaan turut memperlihatkan semangat kebersamaan masyarakat Kudat dalam menyambut sambutan kemerdekaan dengan membawa mesej perpaduan, patriotisme dan kecergasan.



