HomeSukanLiga Super : Sabah FC tekad cipta permulaan positif di Likas

Liga Super : Sabah FC tekad cipta permulaan positif di Likas

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC bersedia membuka tirai kempen Liga Super Malaysia 2026-2027 dengan penuh keyakinan apabila melayan kunjungan Star City FC di Stadium Likas, malam ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garido, menyifatkan aksi pembukaan itu sebagai peluang terbaik buat pasukannya memulakan musim dengan keputusan positif, selain mempersembahkan aksi menarik di hadapan penyokong sendiri.

Menurutnya, persiapan pasukan berjalan baik, termasuk pengalaman mengadakan persiapan di Indonesia yang membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta membentuk persefahaman antara pemain baharu dan pemain sedia ada.

Juan Torres Garido

Beliau berkata, skuad The Rhinos kini bersedia untuk memulakan saingan selepas melalui tempoh pramusim yang dimanfaatkan untuk memperkemaskan corak permainan dan taktikal pasukan.

Torres Garido turut menegaskan Sabah FC akan terus berpegang kepada identiti permainan yang diterapkan sepanjang pramusim, sambil menyifatkan pasukannya masih mempunyai banyak perkara untuk dipersembahkan kepada penyokong.

Mengulas Star City FC, beliau menyifatkan lawan sebagai sebuah pasukan yang mempunyai projek bercita-cita tinggi selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima musim lalu, selain membawa masuk beberapa pemain berpengalaman dalam saingan liga.

Antaranya ialah Ramón Machado, yang bukan asing dengan bola sepak Sabah selepas pernah menyarung jersi Sabah FC pada separuh musim 2023 dan awal musim 2024-2025 ketika pasukan dibimbing Datuk Ong Kim Swee. Machado kemudian meneruskan kariernya di Liga Perdana Azerbaijan.

Dalam pada itu, sokongan penyokong di Stadium Likas menjadi antara aspek penting yang diberi perhatian Torres Garido menjelang aksi pembukaan musim.

Beliau mahu lebih ramai penyokong kembali memenuhi Stadium Likas dan membantu mewujudkan suasana yang mampu memberi kelebihan kepada pasukan apabila beraksi di laman sendiri.

Menurutnya, Sabah FC perlu membina semula kekuatan di Likas dengan mempersembahkan bola sepak yang menarik serta aksi yang mampu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong.

Sabah FC akan menentang Star City FC pada jam 8.15 malam ini di Stadium Likas dalam aksi sulung Liga Super Malaysia musim 2026-2027. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Sabah lepasi kutipan pingat emas di Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular