TAWAU: Kegiatan penyeludupan hampir 300,000 batang rokok disyaki tidak bercukai berjaya ditumpaskan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam serbuan di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, di sini, awal pagi kelmarin.
PPM Wilayah 4 dalam kenyataan berkata, serbuan kira-kira jam 2.20 pagi itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan selepas pasukan berkenaan mengesan aktiviti mencurigakan yang dipercayai membabitkan penyeludupan rokok dari negara jiran.
Ketika serbuan, individu yang dipercayai terbabit melarikan diri dengan terjun ke laut, manakala usaha mengesan mereka tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap.
Pemeriksaan di lokasi menemukan dua bot fiber tanpa nombor yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan seludup, sebelum sejumlah kotak berisi rokok disyaki tidak bercukai ditemukan di dalamnya.
“Antara barangan yang dirampas ialah 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 dan 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia bernilai RM86,400.
“Turut dirampas ialah dua buah bot fiber dan dua buah enjin bot Yamaha 200HP, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM601,400,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, sebanyak 55 kes mengikut Akta Kastam 1967 direkodkan PPM Wilayah 4 Sabah bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, membabitkan rampasan keseluruhan bernilai lebih RM7.3 juta dan penahanan 39 individu.
Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan PPM Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya di kawasan perairan dan sempadan Pantai Timur Sabah.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan kegiatan penyeludupan.
Beliau menegaskan PPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang dan tindakan tegas serta berterusan akan dilaksanakan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara.



