KOTA KINABALU : Institusi keluarga perlu terus diperkasakan sebagai tempat bermulanya pendidikan iman, pembentukan akhlak dan penyemaian nilai-nilai murni.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan anak-anak dibentuk menjadi insan yang beradab, menghormati orang lain serta mempunyai keperibadian yang kukuh.
Beliau berkata, generasi muda perlu diberikan perhatian kerana mereka bakal mewarisi kepimpinan dan menentukan hala tuju negeri serta negara pada masa hadapan.
“Mereka hendaklah dibentengi dengan kekuatan iman dan akhlak agar kemajuan yang dicapai tidak menyebabkan mereka kehilangan pedoman dan jati diri.
“Dalam kehidupan bermasyarakat, Rasulullah saw telah memberikan teladan bahawa perbezaan tidak seharusnya menjadi punca perpecahan.
“Ini sangat bertepatan dengan keadaan kita di Sabah, walaupun wujud pelbagai suku kaum, agama dan budaya, rakyat kekal hidup dalam rukun damai dan harmoni,” katanya.
Tun Musa berkata demikian ketika menyampaikan perutusan pada Sambutan Maulidur Rasul S.A.W peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan barisan Kabinet Kerajaan negeri Sabah.
Tun Musa berkata, kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat harus dipelihara dengan semangat saling menghormati, memahami dan bekerjasama.
“Saya juga menyeru seluruh rakyat Sabah supaya terus memperkukuhkan perpaduan, menghindari sebarang bentuk permusuhan dan sentiasa mengutamakan perkara yang menyatukan kita.
“Perbezaan pandangan hendaklah diurus dengan hikmah. Perselisihan jangan dibiarkan menjadi permusuhan,” katanya.
Sementara itu, Tun Musa mengajak seluruh umat Islam khususnya di Sabah agar menjadikan sambutan ini sebagai medan untuk meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah saw serta memperkukuhkan tekad untuk mengamalkan sunnah dan meneladani akhlak Baginda.
“Mudah-mudahan dengan keberkatan dan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, Allah SWT terus melimpahkan rahmat-Nya kepada negeri ini, mengurniakan keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat serta memandu kita menuju kemajuan yang diberkati dan diredai-Nya,” katanya. – SABAH MEDIA



