HomeUtamaPertanian pacu ekonomi Melalap

Pertanian pacu ekonomi Melalap

Read Time:3 Minute, 11 Second

TENOM: Pembangunan ekonomi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap perlu diperkasa dengan memperkukuh sektor pertanian bagi mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada masyarakat setempat, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, Melalap mempunyai potensi besar dalam pelbagai bidang pertanian termasuk ternakan, perikanan, kopi, avokado dan tanaman bernilai tinggi yang boleh dikembangkan sebagai sumber pendapatan baharu penduduk.

“Kalau kita mahu ekonomi kawasan ini berkembang, kita perlu mencari dan memanfaatkan peluang yang ada. Kita mahu Melalap bukan sahaja berkembang dari segi pertanian, tetapi turut menjadi kawasan pelancongan.

“Apabila ramai orang datang ke Tenom, ekonomi kita akan berkembang dan masyarakat juga mempunyai peluang untuk berniaga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Pusat Khidmat ADUN N.42 Melalap di Hotel Perkasa Tenom, di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas, bersama lebih 100 wakil dari setiap kampung di bawah Pusat Khidmat ADUN N.42 Melalap.

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan rantaian nilai hasil pertanian supaya petani bukan sahaja menghasilkan produk, malah mempunyai kemudahan untuk mengumpul, memproses dan memasarkan hasil mereka.

Katanya, pusat pengumpulan hasil pertanian di Jalan RTM kini hampir 95 peratus siap dan akan digunakan untuk mengumpulkan hasil sayur-sayuran serta produk pertanian dari kampung sekitar.

“Selepas siap dan diserahkan, saya mahu semua hasil pertanian dikumpulkan di sana. Kita akan berbincang dengan pihak berkaitan supaya hasil dari kampung boleh dihantar ke pusat pengumpulan itu.

“Kita mahu membantu menetapkan harga supaya petani mendapat pulangan yang lebih baik,” katanya.

Dalam sektor kopi, Jamawi berkata Melalap dan Tenom mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran tempatan memandangkan hanya kira-kira 20 peratus bekalan kopi dihasilkan dalam negeri, manakala sebahagian besar masih diimport dari Indonesia.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM600,000 bagi membina pusat pengeringan kopi untuk membantu meningkatkan industri berkenaan.

“Kenapa kita masih mengimport kopi sedangkan kita mempunyai kawasan yang sesuai untuk menanam kopi? Kita mahu petani meningkatkan pengeluaran dan memastikan hasil dapat diproses serta dipasarkan dengan lebih baik,” katanya.

Menurutnya, usaha turut dilakukan untuk mengembangkan tanaman kopi di beberapa kampung, termasuk memastikan hasil yang dikutip daripada penduduk dapat dikumpulkan dan diproses secara lebih sistematik.

Selain kopi, katanya, tanaman avokado juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai tanaman bernilai tinggi.

“Harga ladang avokado QAV 1 ialah RM12 sekilogram, manakala harga avokado varieti kampung ialah RM4 sekilogram.

“Varieti yang baik boleh dieksport dan dijual di pasar raya,” katanya.

Jamawi berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM2 juta bagi membina pusat pemprosesan avokado di Kampung Bunut.

“Manakala varieti avokado kampung akan kita proses di pusat pemprosesan berkenaan,” katanya.

Bagi sektor ternakan pula, Jamawi berkata bantuan termasuk kira-kira 25 ekor lembu telah disalurkan kepada penduduk di Kampung Lagud bagi membantu mengembangkan kegiatan penternakan di kawasan berkenaan.

Katanya, bantuan dalam sektor perikanan turut diberikan, termasuk lapan bot lengkap dengan peralatan kepada masyarakat bagi membantu meningkatkan kegiatan ekonomi berasaskan perikanan.

“Bantuan ini bukan sekadar untuk memberi barang, tetapi kita mahu masyarakat menggunakan peluang yang ada untuk menjana pendapatan dan mengembangkan ekonomi keluarga,” katanya.

Jamawi berkata, pembangunan sektor pertanian juga perlu digabungkan dengan sektor pelancongan bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih kukuh di Melalap.

Katanya, beliau telah mengarahkan supaya potensi pelancongan di Tenom dikenal pasti dan dipromosikan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

Beliau berkata, beberapa program yang dijadualkan pada September dan Oktober turut diharap dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Menurutnya, pembangunan ekonomi Melalap tidak boleh bergantung kepada jawatan politik semata-mata, sebaliknya masyarakat perlu diberi peluang membina sumber pendapatan melalui kegiatan ekonomi yang mampan.

“Kita jangan fikir tentang jawatan sahaja. Yang penting ialah bagaimana kita membantu rakyat dan membangunkan ekonomi kawasan.

“Kalau ekonomi naik, masyarakat juga akan mendapat manfaat dan mempunyai lebih banyak peluang untuk berniaga,” katanya.

Terdahulu, Jamawi menghadiri Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah Tenom sebelum menyertai perlawanan persahabatan bola sepak di Kompleks Sukan Tenom.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup rokok tumpas, rampasan cecah RM601,400

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular