HomeUtamaPenghayatan Jalur Gemilang dan lagu patriotik bentuk jati diri kanak-kanak

Penghayatan Jalur Gemilang dan lagu patriotik bentuk jati diri kanak-kanak

Read Time:2 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Pendedahan kepada Jalur Gemilang, Bendera Sabah serta lagu-lagu patriotik seperti Negaraku dan Sabah Tanah Airku sejak usia awal mampu membantu membentuk jati diri dan rasa bangga terhadap negara dalam kalangan kanak-kanak.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, pendidikan patriotisme perlu dimulakan sejak kanak-kanak berada di peringkat pendidikan awal kerana nilai yang diterapkan pada usia muda berupaya menjadi asas kepada pembentukan peribadi mereka.

Menurutnya, penghayatan terhadap simbol dan identiti negara tidak seharusnya dilihat sebagai perkara kecil kerana pengalaman yang dilalui kanak-kanak mampu memberi kesan dalam proses pembentukan pemikiran dan sahsiah mereka.

Katanya, aktiviti mudah seperti berdiri tegak ketika lagu kebangsaan dimainkan, mengibarkan bendera serta mengenali simbol kenegaraan merupakan antara pendekatan yang boleh digunakan bagi memperkenalkan nilai patriotisme kepada kanak-kanak.

“Apabila anak-anak diajar mengenali Jalur Gemilang, menghormati Bendera Sabah, menyanyikan Negaraku dan Sabah Tanah Airku, mereka sebenarnya sedang membina identiti dan rasa bangga terhadap tanah air,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Tunas Patriot 2026 peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu di Tadika Chung Hwa Penampang di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Shahrudin Mat Husain; Ketua Penolong Pengarah Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Idris Puteh; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, Deputi Superintenden Polis Dayang Nur Azrinawaty Awang Kachee; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (Sektor Perancangan PPD), Kassim Wiro; serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azmi Matussin.

Arif berkata, pengalaman berkenaan juga dapat membantu kanak-kanak memahami bahawa kecintaan terhadap negara bukan hanya dizahirkan ketika sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, patriotisme perlu diterjemahkan melalui amalan positif termasuk mematuhi peraturan, menghormati orang lain, menjaga keharmonian serta mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

“Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera atau melaungkan Merdeka. Patriotisme ialah rasa cinta kepada negara yang diterjemahkan melalui sikap, disiplin, hormat-menghormati dan tanggungjawab kita setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Tunas Patriot 2026 merupakan satu platform yang baik untuk memberikan pengalaman secara langsung kepada kanak-kanak dalam menghayati nilai patriotisme.

Program yang julung kali dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu itu melibatkan 20 buah tadika swasta di sekitar Kota Kinabalu.

Beliau berkata, penglibatan anggota polis dalam program berkenaan turut memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali agensi keselamatan negara dalam suasana yang lebih mesra dan positif.

Katanya, pendekatan sedemikian penting kerana pengalaman yang dilalui secara langsung lebih mudah diingati oleh kanak-kanak dan boleh membantu mereka memahami peranan setiap individu dalam masyarakat.

“Bagi kita, perkara ini mungkin kelihatan kecil. Tetapi bagi seorang kanak-kanak, pengalaman berdiri tegak ketika lagu kebangsaan dimainkan, mengibarkan bendera dan berinteraksi dengan anggota polis merupakan pengalaman yang akan mereka ingat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha menyemai patriotisme dalam kalangan kanak-kanak dapat diteruskan secara berterusan melalui kerjasama antara tadika, ibu bapa, komuniti dan agensi kerajaan.

Katanya, pendidikan awal yang menggabungkan ilmu pengetahuan dengan nilai patriotisme mampu membantu melahirkan generasi yang bukan sahaja berkemahiran, malah mempunyai jati diri dan rasa tanggungjawab terhadap negara.

Beliau turut berharap lebih banyak institusi pendidikan awal kanak-kanak dapat menyertai program seumpama itu pada masa akan datang bagi memperluaskan usaha membentuk generasi yang mencintai negara sejak kecil.

RELATED ARTICLES
Utama

Kota Kinabalu catat indeks UV sangat tinggi, cecah 11.4

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular