LAHAD DATU: Seorang anggota Polis Marin (PPM) Lahad Datu berpangkat Lans Koperal cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di Pos Pengawal Marin di sini, pada 25 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari sama.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahagian perut selepas terkena tembakan ketika seorang anggota rakan setugas terbabit dalam proses mengosongkan senjata api di lokasi kejadian.
“Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga mencederakan mana-mana orang.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.



