KOTA KINABALU: Seramai 405 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026 di Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Shahrudin Mat Husain berkata, penugasan anggota itu merangkumi tempoh raptai dan acara sebenar HKHS yang berlangsung di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, pada 31 Ogos ini.
Katanya, PDRM turut merancang pelan strategi dan kawalan lalu lintas bagi memastikan pergerakan kenderaan awam keluar dan masuk ke pusat bandar dapat berjalan lancar sepanjang tempoh sambutan.
“Seramai 405 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang raptai dan acara sebenar HKHS bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik.
“Kawalan keselamatan juga tidak ketinggalan iaitu menjaga keselamatan orang-orang kenamaan serta orang ramai yang akan hadir pada program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program temu bual segmen ‘Sembang Ekspresi’ di konti SABAHfm kendalian DJ Darlynn, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, antara strategi yang dirancang termasuk penutupan beberapa laluan secara sementara serta penempatan anggota di lokasi dan laluan kritikal bagi mengawal pergerakan trafik.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pengguna jalan raya dapat bergerak dengan lebih teratur, khususnya di kawasan sekitar pusat bandar yang dijangka menerima jumlah kenderaan dan pengunjung yang tinggi.
Shahrudin turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang ditempatkan di lokasi tertentu sepanjang raptai dan acara HKHS.
Katanya, orang ramai juga disaran merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik daripada PDRM, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kita berharap orang ramai dapat merancang perjalanan dengan baik dan hadir lebih awal ke lokasi sambutan bagi mengelakkan kesesakan.
“Orang ramai juga boleh mempertimbangkan penggunaan pengangkutan awam seperti bas atau berkongsi kenderaan sebagai langkah mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya,” katanya.
Sambutan HKHS 2026 yang berlangsung pada 31 Ogos ini dijangka menghimpunkan orang ramai bagi menyaksikan acara sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah di sekitar Dataran Bandaraya serta kawasan berhampiran.



