HomeIsu tempatanUMS perluas kerjasama penyelidikan bioteknologi antarabangsa

UMS perluas kerjasama penyelidikan bioteknologi antarabangsa

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperluas kerjasama penyelidikan bioteknologi dengan menganjurkan ‘The 9th International Biotechnology Symposium (SB9) 2026’ sebagai platform perkongsian ilmu berkaitan bidang tersebut.

Simposium bertemakan “Strengthening a Sustainable Future with Emerging Frontiers in Biotechnology” itu melibatkan para penyelidik, ahli akademik, wakil industri, agensi kerajaan serta peserta antarabangsa dari China dan Indonesia.

Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata bioteknologi bukan sekadar satu disiplin sains, tetapi merupakan sektor ekonomi strategik yang mampu memacu pembangunan jangka panjang Sabah.

“Penyelidikan tidak seharusnya terhenti di makmal tetapi perlu diterjemahkan kepada teknologi, produk dan perkhidmatan yang mampu menjana nilai ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Melalui agenda pembangunan Sabah Maju Jaya, kerajaan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, organisasi penyelidikan, rakan industri serta agensi kerajaan yang berkaitan bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong perkembangan dan penghasilan inovasi,” jelasnya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pendidikan Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata penganjuran SB9 mencerminkan komitmen universiti dalam menjadikan bioteknologi sebagai bidang penting dalam pembangunan sains, inovasi dan kelestarian.

“Bioteknologi telah menjadi antara bidang yang paling transformatif pada abad ke-21, dengan aplikasinya merangkumi kesihatan, pertanian, keselamatan makanan, pemuliharaan alam sekitar, pembuatan industri, sumber boleh diperbaharui serta pembangunan ekonomi bio baharu.

“Sabah, yang terletak di Pulau Borneo, diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai kawasan tumpuan biodiversiti yang kaya dengan kepelbagaian ekosistem daratan, air tawar dan marin,” ujarnya.

Tambah Kasim, kelebihan biodiversiti Sabah bersama kapasiti penyelidikan yang dimiliki UMS menerusi IPB, fakulti dan pusat penyelidikan telah menyediakan asas yang kukuh untuk pengembangan penyelidikan bioteknologi dalam pelbagai bidang.

“Kerjasama ini telah meningkatkan kapasiti penyelidikan, menggalakkan pemindahan teknologi serta memudahkan penterjemahan penemuan saintifik kepada inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Selain sesi ilmiah, simposium tesebut turut menampilkan sesi ceramah serta reruai pameran yang mengetengahkan hasil penyelidikan, inovasi dan kepakaran berkaitan bioteknologi.

Penganjuran SB9 2026 turut menyaksikan pemeteraian dua Perjanjian Penyelidikan antara UMS bersama Persatuan Pengusaha Bulatok Sabah (PPSB) dan Milagros Putra Mandiri, Indonesia serta satu surat niat dimeterai bersama Bio3 Scientific Sdn. Bhd. bagi memperluas kerjasama penyelidikan, pertukaran kepakaran serta pembangunan inovasi dan teknologi bioteknologi.

Menurut Kasim, platform seperti SB9 penting dalam menghimpunkan kepakaran daripada pelbagai latar belakang bagi menghasilkan penyelidikan yang lebih berimpak dan relevan dengan keperluan semasa.

“Saya yakin pembentangan, perbincangan dan sesi jaringan sepanjang beberapa hari ini akan mencetuskan idea baharu, menggalakkan kerjasama serta menghasilkan penyelidikan berimpak yang menyumbang bukan sahaja kepada kemajuan sains, malah pembangunan sosioekonomi yang mampan.

“Semoga SB9 terus menjadi platform yang menghubungkan penyelidik, industri dan komuniti dalam membentuk masa depan bioteknologi yang lebih baik,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade dan Pengarah IPB, Profesor Dr. Jualang Azlan Abdullah Gansau.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia periksa feri laluan Karakit-Kudat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular