HomeUtamaMasyarakat perlu berubah, terbuka kepada pembaharuan – Fairuz

Masyarakat perlu berubah, terbuka kepada pembaharuan – Fairuz

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA BELUD: Masyarakat di daerah ini diseru supaya mengubah pemikiran dan berani keluar daripada kepompong lama bagi memastikan Kota Belud terus berkembang serta mencapai kemajuan seiring dengan daerah lain.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, berkata pengertian kemerdekaan pada masa kini bukan lagi sekadar pembebasan negara daripada penjajahan, sebaliknya turut merangkumi usaha membebaskan masyarakat daripada kekangan pemikiran, ekonomi dan pembangunan.

Beliau berkata, semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui perubahan sikap dan pemikiran yang lebih terbuka, selain kesediaan masyarakat menerima pembaharuan demi meningkatkan taraf hidup.

“Kemerdekaan bukan hanya melalui perbuatan tetapi juga melalui pemikiran, keluarlah daripada kepompong yang lama. Kita mahu merdeka daripada ekonomi, pembangunan dan segala-galanya.

“Masyarakat perlu mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan bersedia menerima perubahan bagi memastikan Kota Belud tidak lagi berada pada tahap pembangunan seperti dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Kota Belud di Padang Kampung Emas, di sini.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata, semangat kemerdekaan tidak seharusnya hanya dizahirkan melalui sambutan dan program kenegaraan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk usaha bersama membangunkan daerah.

Katanya, masyarakat perlu memainkan peranan dengan meningkatkan taraf hidup, memperkukuh ekonomi dan menyokong usaha pembangunan supaya Kota Belud terus bergerak ke hadapan.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya menghayati mesej yang terkandung dalam lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang sarat dengan nilai perpaduan, kemajuan serta semangat perjuangan pemimpin terdahulu.

“Mesej dan amanat berkenaan perlu dijadikan panduan dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan terus berusaha mencapai kemajuan,” katanya.

Fairuz turut menekankan kepentingan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan serta mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih baik dan berakhlak.

Terdahulu, majlis berkenaan diserikan dengan gimik perasmian menerusi permainan tradisional sepak manggis, selain pelbagai acara sukan rakyat yang memeriahkan suasana dan mendapat sambutan masyarakat setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

Pentas Orkestra UMS jadi medan bakat muda SM Maktab Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular