PAPAR: Sebuah kenderaan perdagangan jenis dumper tipper disita selepas didapati beroperasi dalam keadaan yang membahayakan keselamatan orang awam serta melanggar pelbagai peruntukan Akta Pengangkutan Jalan.
Kenderaan itu disita dalam operasi rondaan rutin Stesen Penguat Kuasa Kimanis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah di Jalan Pan Borneo Kimanis–Papar pada 17 Ogos lalu.
Menurut JPJ Sabah, pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit dipandu seorang lelaki yang tidak memiliki lesen memandu serta Lesen Vokasional (GDL) yang sah.
Kenderaan itu juga didapati tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans dan permit sah, selain gagal mematuhi syarat pemeriksaan berkala Puspakom.
Berikutan itu, JPJ mengeluarkan 16 saman kepada pemandu serta pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Notis sita turut dikeluarkan di lokasi kejadian dan kenderaan berkenaan ditahan sepenuhnya.
JPJ Sabah berkata operasi berkenaan dilaksanakan bagi mempergiatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan undang-undang jalan raya dan memastikan keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.
“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang mengambil mudah aspek keselamatan dan undang-undang jalan raya,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dan pengusaha kenderaan perdagangan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kesejahteraan dan keselamatan bersama di lebuh raya.



