Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Bapa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa beliau dimaklumkan polis mengenai laporan yang didakwa pernah dibuat ibu Zara terhadapnya berhubung ugutan bunuh.
Saksi ke-80, Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata beliau hanya mengetahui mengenai dakwaan laporan itu selepas bertanya kepada polis mengapa beliau diajukan soalan yang dianggap pelik ketika keterangannya dirakam.
Semasa pemeriksaan utama oleh peguam Shahlan Jufri, Mahathir berkata polis mengajukan beberapa soalan yang dianggapnya pelik ketika keterangannya dirakam, termasuk mengenai cara beliau memukul dan mendera Zara.
Mahathir berkata beliau dipanggil ke balai polis kali pertama bagi tujuan penyitaan telefon bimbitnya dan kali kedua untuk siasatan lanjut kes berkenaan.
Menjawab soalan lain daripada Shahlan, Mahathir berkata ketika disoal polis dalam siasatan, beliau memberitahu mereka bahawa “saya tidak pernah menjentik telinga Zara sekalipun.”
Beliau berkata soalan berkenaan dianggap pelik kerana menyangka akan ditanya mengenai apa yang berlaku terhadap Zara di sekolah.
Menjawab soalan peguam Prem Elmer Ganasan, Mahathir berkata dakwaan mengenai ugutan bunuh itu keterlaluan, namun beliau tidak menafikan mempunyai masalah rumah tangga dengan Noraidah.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa mencela Zara dan kesemuanya mengaku tidak bersalah.



