TAWAU: Hasrat seorang wanita untuk bercerai dipercayai menjadi punca dia diugut suaminya dengan sebilah parang dalam kejadian di kawasan Check Point, Kilometer 52, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa, seorang warga asing berusia 30-an, turut bergelut dengan suaminya bagi merampas parang berkenaan sebelum membuat laporan polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek, lelaki warganegara Malaysia berusia 40-an, ditahan kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu selepas dikesan di sekitar Bandar Tawau.
Katanya, mangsa ketika itu bersama suspek dalam perjalanan dari Tawau ke Semporna sebelum suspek memberhentikan kenderaan jenis Perodua Axia di lokasi kejadian.
“Suspek kemudiannya keluar dari kenderaan menuju ke bahagian belakang sebelum mengambil sebilah parang pendek dan mengacukannya ke arah mangsa yang berada di dalam kereta sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.
“Mangsa dan suspek kemudiannya bergelut bagi merampas parang tersebut sebelum mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada hasrat mangsa untuk bercerai dengan suspek,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah Perodua Axia berserta anak kunci.
“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tegasnya, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan jenayah serta memastikan keselamatan mangsa sentiasa diberi perhatian.



