HomeUtamaMangsa kebakaran Numbak dibenarkan bina semula rumah - DBKK

Mangsa kebakaran Numbak dibenarkan bina semula rumah – DBKK

Read Time:1 Minute, 25 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU : Mangsa kebakaran membabitkan tiga kampung di kawasan Numbak, di sini boleh membina semula rumah di kawasan berkenaan, namun hanya mereka yang benar-benar layak dibenarkan berbuat demikian.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, DBKK bersama dengan kerajaan negeri kini sedang menyusun semula kawasan itu supaya pembinaan rumah dapat dilakukan mengikut plot yang lebih teratur.

“Kawasan itu sebenarnya tempat perpindahan mereka dari kawasan Tentera Laut Diraja Malaysia sebelum ini. Jadi, tempat itu memang satu tempat yang dibenarkan untuk mereka membuat penempatan.

“Cuma, pada masa sekarang, yang Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sedang laksanakan bersama dengan kerajaan negeri adalah untuk memastikan hanya mereka yang betul-betul layak saja tinggal di sana untuk membina semula rumah mereka dengan plot yang teratur,” katanya.

Dr Sabin Samitah

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman Bersama Mangsa Bencana Kebakaran di Dewan Serbaguna Damai, di sini hari ini.

Sabin berkata DBKK sedang membuat persediaan termasuk menjalankan pemeriksaan dan pengukuran bagi mengelakkan perebutan tapak.

“Sekarang, kita sedang membuat persediaan. Kita telah membuat pemeriksaan dan juga mengambil tindakan untuk membuat pengukuran supaya tempat tu tidak menjadi perebutan.

“Kita akan lihat senarai mereka yang terlibat dengan kebakaran dan senarai nama yang sepatutnya menduduki kawasan tersebut sebelum ini. Kita sedia maklum terdapat juga individu dari kawasan luar yang masuk ke kawasan tersebut membina rumah mereka tanpa kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Terdahulu, Musa menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan kepada 110 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran berkenaan.

Pada 30 Ogos lepas, kebakaran di Kampung Numbak memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air, dengan tiga mangsa ditemukan rentung. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Pemulihan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu perlu ikut kaedah pemuliharaan warisan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular