HomeUtamaTiga peniaga dikompaun gagal pamer tanda harga

Tiga peniaga dikompaun gagal pamer tanda harga

Read Time:1 Minute, 29 Second

LABUAN: Tiga pemilik perniagaan di sini dikompaun selepas gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai pada barangan dan makanan yang ditawarkan kepada pengguna.

Dua kes membabitkan premis perniagaan runcit, manakala satu lagi membabitkan premis makanan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati dua premis perniagaan runcit berkenaan gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang ditawarkan kepada pengguna.

Sebuah gerai makanan pula gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi makanan sedia dimakan yang ditawarkan untuk jualan.

“Sebanyak tiga notis kompaun telah dikeluarkan terhadap tiga pemilik perniagaan berkenaan atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan oleh dua pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Labuan di kawasan luar bandar susulan aduan yang diterima daripada pengguna berkaitan isu harga.

Junaidah berkata, keperluan mempamerkan tanda harga penting bagi memastikan pengguna memperoleh maklumat harga yang jelas sebelum membuat keputusan pembelian.

“Ia juga membolehkan pengguna membuat perbandingan harga dengan lebih mudah serta mengelakkan kekeliruan ketika urusan jual beli,” katanya.

Bagi kesalahan berkenaan, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil mudah keperluan mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi setiap barangan yang ditawarkan untuk jualan, termasuk makanan sedia dimakan di premis makanan.

“Tanda harga hendaklah dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat bagi memberikan ketelusan kepada pengguna ketika membuat pilihan pembelian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemulihan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu perlu ikut kaedah pemuliharaan warisan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular