HomeUtamaOrang ramai diseru hadir meriahkan Sambutan Hari Malaysia di Sabah

Orang ramai diseru hadir meriahkan Sambutan Hari Malaysia di Sabah

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Rakyat negeri ini diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 yang akan berlangsung pada 16 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Sambutan berkenaan dijadualkan bermula pada jam 8 malam dan menjadi antara platform penting bagi menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan serta kecintaan terhadap negeri dan negara dalam kalangan masyarakat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata persiapan bagi menjayakan sambutan itu kini sedang diselaraskan dengan kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.

Katanya, penglibatan masyarakat secara langsung dalam sambutan berkenaan penting bagi memastikan penghayatan terhadap Hari Malaysia tidak terhad kepada acara rasmi semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui semangat kebersamaan seluruh rakyat.

“Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah penting untuk kita menghayati sejarah pembentukan Malaysia serta memperkukuh semangat perpaduan, patriotisme dan kebersamaan dalam kalangan rakyat.

“Sabah mempunyai kedudukan yang amat penting dalam sejarah pembentukan Malaysia. Sambutan ini harus menjadi ruang untuk kita mengenang perjuangan generasi terdahulu, di samping memperbaharui tekad untuk terus membina negara yang aman, maju dan bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Ke-63 Peringkat Negeri Sabah kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.

Jafry yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, kunjungan hormat itu bertujuan menyampaikan sembah maklum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah berhubung persiapan serta pengisian program yang akan diadakan pada 16 September ini.

Menurutnya, pertemuan berkenaan turut menjadi ruang untuk mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Tun Musa bagi memastikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri dapat dilaksanakan dengan lancar dan penuh bermakna.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kesudian Tun Musa menerima kunjungan hormat berkenaan serta memberikan nasihat dan pandangan berkaitan persiapan sambutan.

Dalam pada itu, Jafry berkata kerjasama erat antara kementerian, jabatan dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan segala persiapan serta pengisian program berjalan mengikut perancangan.

Katanya, penyelarasan yang baik antara semua pihak diperlukan bagi memastikan sambutan yang dirancang mampu memberikan pengalaman bermakna kepada rakyat, selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana yang harmoni.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru seluruh rakyat Sabah, termasuk keluarga, golongan belia dan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, supaya hadir bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia sebagai manifestasi kecintaan kita kepada negeri dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Indeks kos bahan binaan di Semenanjung turun, melonjak di Sabah dan...

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular