SHAH ALAM: Kecemerlangan atlet Para Sabah pada temasya Para SUKMA 2026 di Selangor membuka laluan lebih luas untuk anak-anak negeri itu mengembangkan karier sukan hingga ke peringkat antarabangsa.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pemilihan beberapa atlet Sabah untuk mewakili negara pada Sukan Asia hujung bulan ini menjadi bukti bahawa atlet negeri berkenaan mempunyai keupayaan untuk bersaing di pentas Asia.
Beliau berkata, peluang berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet terbabit bagi membuktikan kemampuan mereka selain berusaha menyumbang kejayaan kepada negara.
“Ada di antara atlet-atlet Sabah yang telah terpilih mewakili negara Malaysia di Sukan Asia yang akan diadakan di penghujung bulan September ini.
“Kita mendoakan yang terbaik kepada mereka dan menyumbang sesuatu kejayaan kepada negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

Menurut Nizam, perkembangan itu turut mencerminkan keberkesanan usaha membangunkan sukan para di Sabah yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian di peringkat negeri, malah menyediakan laluan kepada atlet berpotensi untuk pergi lebih jauh.
Katanya, atlet yang berjaya menampilkan prestasi cemerlang perlu terus diberikan sokongan, termasuk dari aspek latihan dan pembangunan supaya mereka mampu mengekalkan prestasi di peringkat antarabangsa.
“Kita mahu mereka lebih berjaya di peringkat kebangsaan dan mudah-mudahan mereka juga berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Pada Para SUKMA 2026, kontinjen Sabah mencatat pencapaian terbaik dalam tiga edisi dengan mengumpul 69 pingat emas dan muncul naib juara keseluruhan.
Nizam berkata pencapaian itu membuktikan kesungguhan serta kemampuan atlet Para Sabah selepas kutipan emas negeri itu meningkat daripada 54 pada 2022 kepada 62 emas ketika edisi di Kuching, Sarawak, dua tahun lalu.
Difahamkan seramai lapan atlet Para Sabah dipilih untuk mewakili negara ke Sukan Asia.



