BERTAM: Komitmen dan kerjasama warga kerja menjadi antara faktor utama kejayaan Majlis Daerah Telupid (MDTelupid) mencatat pencapaian cemerlang dalam penilaian transformasi tadbir urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tahun ini.
Kejayaan itu menyaksikan MDTelupid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Transformasi Tadbir Urus Terbaik Tahun 2026 sempena Konvensyen PBT Tahun 2026 di Bertam Resort, Pulau Pinang, pada Sabtu.
MDTelupid mencatat skor 92.07 peratus dengan penarafan lima bintang, berbanding 73.13 peratus dan tiga bintang pada 2024.
Pencapaian itu membuktikan berlaku peningkatan ketara dalam tempoh dua tahun, dengan MDTelupid merekodkan peningkatan sebanyak 18.94 mata peratusan.

Malah, pencapaian tersebut turut melonjakkan kedudukan MDTelupid di peringkat nasional daripada tempat ke-87 pada 2024 kepada tempat keempat daripada 92 PBT kategori daerah seluruh Malaysia pada 2026.
Bekas Pegawai Eksekutif MDTelupid, Mohd Ramdan Abdullah Sani, yang pernah berkhidmat dari April 2023 hingga Ogos 2026, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil komitmen bersama seluruh warga kerja majlis.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih khas kepada semua warga kerja MDTelupid atas komitmen tinggi serta kerjasama padu yang diberikan dalam usaha mencapai kejayaan berkenaan.
Mohd Ramdan turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone Kurum, atas nasihat, sokongan dan dorongan yang diberikan dalam membantu MDTelupid mencapai kejayaan tersebut.

Katanya, sokongan dan kesungguhan warga kerja, selain bimbingan serta sokongan pihak berkepentingan, bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi MDTelupid, malah turut menyumbang kepada peningkatan imej majlis di peringkat nasional.
“Kejayaan ini diharap dapat dipertahankan dan menjadi asas kepada usaha MDTelupid untuk terus mempertingkatkan kualiti pengurusan serta perkhidmatan demi kepentingan masyarakat di daerah Telupid,” katanya.
Peningkatan prestasi MDTelupid itu juga memperlihatkan kesungguhan PBT berkenaan dalam melaksanakan penambahbaikan secara berterusan, khususnya dalam aspek tadbir urus dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Daripada hanya mencatat 58.06 peratus dan dua bintang pada 2022, MDTelupid berjaya meningkatkan pencapaian kepada 73.13 peratus dan tiga bintang pada 2024, sebelum mencapai 92.07 peratus serta lima bintang pada tahun ini.
Lonjakan berkenaan sekali gus meletakkan MDTelupid dalam kelompok empat PBT daerah berprestasi terbaik di Malaysia dan menjadi pencapaian penting dalam agenda transformasi tadbir urus.
Pencapaian itu diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga kerja MDTelupid untuk terus mengekalkan momentum kecemerlangan serta memperkukuh kualiti tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat di daerah Telupid. – SABAH MEDIA



