HomePolitikBN Sabah tegaskan agama bukan bahan jenaka politik

BN Sabah tegaskan agama bukan bahan jenaka politik

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan kepentingan menghormati agama dan kepercayaan semua kaum sebagai asas keharmonian serta perpaduan masyarakat di negara ini.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.

Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain bagi meraih gelak ketawa atau tepukan.

“Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa ucapan tersebut amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.

“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Arthur, Malaysia dibina atas asas masyarakat berbilang kaum dan agama, justeru semua pihak perlu menghormati batas dalam kebebasan bersuara serta memahami bahawa agama bukan bahan permainan politik.

Katanya, selepas lebih enam dekad Malaysia dibentuk sebagai sebuah negara, adalah amat mengecewakan sekiranya masih terdapat pemimpin yang memilih menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik.

“Politik ada batas, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pemimpin politik supaya tidak menyentuh isu 3R membabitkan kaum, agama dan institusi diraja secara sewenang-wenangnya.

Katanya, Perlembagaan dan undang-undang negara perlu dihormati bagi memastikan ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat terus terpelihara.

Arthur berkata, BN merupakan gabungan yang berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama.

“Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika, tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik.

“Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan pandangan politik, kritikan terhadap dasar dan perdebatan secara tegas masih boleh dilakukan, namun ia tidak seharusnya melangkaui batas apabila menyentuh agama dan kepercayaan orang lain.

Menurutnya, alasan bahawa sesuatu kenyataan itu sekadar ‘gurauan’ tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan kesan serta sensitiviti yang ditimbulkan.

Sehubungan itu, Arthur mendesak Noorazli supaya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang tersinggung dan terkesan dengan ucapan berkenaan.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.

“Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Jafry (duduk, tengah) bersama pihak penganjur lain menunjukkan poster promosi Sambutan Hari Malaysia 2026 pada sidang media khas di sini, hari ini. - Foto Sabah Media/ Alexter Rosalia
Utama

Hari Malaysia bukan sekadar sambutan, penghayatan generasi muda jadi fokus utama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular