KUDAT: Gagasan ‘1 Rumah 1 Siswa’ diyakini mampu membuka peluang pendidikan lebih luas kepada anak-anak daripada pelbagai latar belakang keluarga, sekali gus menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong Chen Bin berkata, gagasan berkenaan membawa harapan agar setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, pendidikan dan kemahiran yang dimiliki seseorang anak mampu menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan sesebuah keluarga, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
“Pendidikan tinggi bukan hanya untuk mereka yang berada. Kita mahu pendidikan tinggi menjadi impian setiap keluarga dan ibu bapa berusaha memberikan peluang terbaik kepada anak-anak untuk mengubah kehidupan keluarga.
“Anak-anak tidak seharusnya takut untuk bermimpi besar walaupun berasal daripada keluarga sederhana, tinggal jauh dari bandar atau datang dari kawasan kampung dan pulau.

“Tempat seseorang dilahirkan tidak sepatutnya menentukan sejauh mana mereka mampu pergi, manakala jarak, kemiskinan dan kekurangan bukan alasan untuk gagal atau berhenti mengejar cita-cita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pendidikan MADANI di Dewan Perkarangan Tomborungus, Kudat, di sini.
Menurut Ben Chong, agenda berkenaan amat penting dalam konteks Sabah yang berdepan cabaran pendidikan tersendiri, termasuk melibatkan kawasan pedalaman dan kepulauan.
Katanya, jarak sekolah yang jauh selain kekangan dari aspek akses, infrastruktur dan kemudahan digital antara cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan semua anak Sabah mendapat peluang pendidikan yang sama.
“Anak-anak di Kudat mesti mempunyai peluang yang sama untuk berjaya seperti anak-anak di Kota Kinabalu.
“Anak-anak daripada keluarga miskin juga mesti mempunyai laluan untuk melanjutkan pendidikan dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, gagasan ‘1 Rumah 1 Siswa’ turut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035, khususnya dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan serta memastikan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan relevan.
Katanya, pendidikan bukan sekadar bertujuan melahirkan generasi berpengetahuan, tetapi turut perlu membekalkan kemahiran dan membentuk karakter yang diperlukan generasi muda bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kemiskinan mampu dinoktahkan melalui pendidikan. Kemiskinan bukan sesuatu yang harus diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya,” katanya.
Sehubungan itu, Ben Chong berharap gagasan berkenaan dapat menjadi sebahagian daripada agenda pendidikan Sabah dengan membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang.
Katanya, peluang berkenaan tidak hanya tertumpu kepada universiti, malah turut merangkumi politeknik, kolej komuniti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pendidikan dan kemahiran lain yang bersesuaian.
Sementara itu, Karnival Pendidikan MADANI anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Kudat dengan seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) turut menyediakan pameran membabitkan sekolah-sekolah di daerah Kudat, Kolej Vokasional serta agensi kerajaan.



