Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di Sepanggar, Sabah.
Piluta Samad, 72, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
“Saya tidak akun salah,” katanya dari kandang tertuduh.
Mahkamah menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semua kes pra-perbicaraan.
Piluta didakwa atas pertuduhan membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya, tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.

Piluta pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret pada 27 Februari lalu, namun tiada pengakuan direkodkan ketika itu.
Kes berkenaan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 September selepas Piluta menjalani penilaian mental atas permohonan pasukan peguamnya.
Mahkamah sebelum ini, pada 15 April lalu, memerintahkan Piluta menjalani pemerhatian selama 30 hari di Hospital Mesra susulan permohonan pasukan guaman untuk merujuk tertuduh bagi penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Pada 15 Mei lalu, mahkamah membenarkan lanjutan sebulan untuk penilaian psikiatri terhadap Piluta.
Pada 23 Julai lalu, laporan hospital berkenaan menunjukkan Piluta didapati sihat untuk dibicarakan dan tidak mengalami sebarang penyakit mental.
Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Naziah Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili mengendalikan pendakwaan.
Piluta diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh, Ian Vun, Prem Elmer Ganasan dan Prabjit Singh Gill.



