HomeUtamaLelaki tanpa dokumen mengaku warga Malaysia, menyamar pegawai imigresen

Lelaki tanpa dokumen mengaku warga Malaysia, menyamar pegawai imigresen

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tanpa dokumen berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, termasuk mengaku sebagai warganegara Malaysia dan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa imigresen.

Ratno William Foo mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Helmy Yunus.

Mengikut pertuduhan pertama, Ratno didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada seorang pemegang pasport, Londong Antong, bahawa dia berisiko ditangkap oleh pegawai JIM dan dengan demikian secara curang mendorong Londong menyerahkan wang tunai RM1,500 kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 28 Ogos lalu di sebuah rumah di Kampung Koidupan Sugud, Penampang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ratno didakwa menyamar sebagai penguat kuasa imigresen dengan memperkenalkan dirinya sebagai penguat kuasa imigresen kepada Londong pada masa dan tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Ratno yang bukan pegawai JIM didakwa memakai pakaian seragam rasmi dan membawa tali penyandang berlogo rasmi jabatan berkenaan dengan niat supaya dipercayai bahawa dia adalah pegawai imigresen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan pada masa yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan keempat, Ratno didakwa secara tidak jujur memperdaya seorang lelaki warga tempatan dengan menyebabkan individu berkenaan mempercayai bahawa tertuduh adalah warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan bernombor 980203-12-0665, sedangkan tertuduh mengetahui perkara itu tidak benar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan kes dan memerintahkan Ratno terus direman sehingga kesnya selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony, manakala Ratno tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua lelaki didakwa edar lebih 1.4kg methamphetamine

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular