Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil dengan latar belakang berbeza, namun berkongsi impian sama untuk mencipta masa depan lebih baik menerusi pendidikan tinggi.
Pelajar berkenaan ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Minggu Suai Mesra Sesi 2026/2027 Kali Ke-32 yang berlangsung di UMS, pada Selasa.
Antara mereka ialah Jakelinia Epifania da Costa, 19, dari Timor-Leste yang memilih UMS untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kimia Industri di Fakulti Sains dan Teknologi.
Menurutnya, UMS dipilih kerana beliau mahu merasai pengalaman kehidupan sebagai mahasiswa dalam persekitaran yang indah, selain yakin universiti itu mampu menjadi tempat untuk mencapai cita-citanya.
“Saya memilih UMS kerana ingin merasai pengalaman belajar di tempat yang mempunyai persekitaran dan lokasi yang indah. Saya percaya UMS adalah tempat terbaik untuk saya menikmati pengalaman kehidupan sebagai mahasiswa dan mencapai impian saya.
“Sejak di sekolah menengah, saya memang berminat untuk menjadi seorang profesional dalam bidang kimia. Sebab itu saya memilih pengajian ini di UMS,” katanya.
Bagi pelajar dari Sweden, Clara Sofia Merapi Uvebrant Bjarne, 22, pula, minat terhadap sains marin serta keinginan meneroka alam semula jadi Borneo menjadi antara faktor beliau memilih UMS.
Katanya, beliau sebelum ini mencari universiti di luar negara yang menawarkan pengajian sains marin dalam bahasa Inggeris, mempunyai persekitaran marin yang baik dan pada masa sama berpatutan dari segi kos.
“Saya memang mahu melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang sains marin. Apabila mengetahui mengenai UMS, saya tertarik dengan kampusnya yang cantik serta persekitaran Sabah yang mempunyai alam semula jadi Borneo.
“Sejak kecil, saya bercita-cita untuk menjadi ahli biologi marin, khususnya mengkaji ikan paus dan ikan lumba-lumba. Saya merancang melanjutkan pengajian dalam bidang sains marin sehingga ke peringkat sarjana dan mungkin PhD,” katanya.
Sementara itu, Lee Jisoo, 19, dari Korea Selatan yang membesar di Labuan memilih UMS kerana faktor kelayakan akademik serta lokasinya yang dekat dengan tempat beliau membesar.
Beliau sebelum ini mengikuti program Asasi Sains di UMS sebelum menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.
“Sasaran utama saya adalah untuk mendapat keputusan yang baik, termasuk Anugerah Dekan setiap semester. Pada masa sama, saya mahu mendapatkan pengalaman yang berguna, mengumpul sijil dan menyertai pelbagai organisasi mahasiswa.
“Selepas tamat pengajian, saya bercadang bekerja di Sabah selama dua atau tiga tahun untuk mendapatkan pengalaman dalam bidang Kejuruteraan Elektrik sebelum mempertimbangkan peluang bekerja di negara lain,” katanya.
Dalam pada itu, kemasukan ke UMS turut menjadi sumber kegembiraan buat Nursyadatul Saleha Mohamad Ali, 20, dari Lahad Datu yang merupakan pelajar orang kurang upaya (OKU) fizikal.
Beliau kini mengikuti pengajian dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan menyifatkan kemudahan yang disediakan UMS untuk pelajar OKU sebagai antara perkara yang memberi keyakinan kepadanya.
“Saya berterima kasih kepada pihak UMS kerana menerima saya sebagai mahasiswa. Saya gembira dapat melanjutkan pengajian di UMS kerana universiti ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelajar OKU.
“Saya mahu menjadi contoh kepada adik-adik saya dan menunjukkan bahawa pendidikan boleh menjadi pendorong untuk terus berjaya,” katanya.
Turut berkongsi semangat sama ialah Nur Hadriana Paiman, 19, dari Kalabakan, Tawau yang mempunyai masalah penglihatan.
Menurutnya, beliau berasa teruja dan bangga selepas berjaya menjadi mahasiswa UMS, apatah lagi sejak awal lagi sudah menyimpan hasrat untuk belajar di universiti berkenaan.
“Saya rasa teruja dan bangga dapat menjadi mahasiswa UMS kerana sejak awal lagi saya memang mahu belajar di sini.
“Bagi saya, kita perlu yakin dengan diri sendiri dan tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain terhadap kekurangan yang kita ada. Sokongan daripada orang di sekeliling juga sangat penting.
“Kepada mereka yang mempunyai kekurangan upaya tetapi mahu menyambung pengajian, jangan takut dan yakinlah dengan kemampuan diri. Walaupun kita mungkin berbeza sedikit daripada orang lain, kita juga mampu berjaya seperti orang lain,” katanya.
Terdahulu, seramai 6,171 pelajar ditawarkan mengikuti program prasiswazah UMS bagi sesi akademik 2026/2027, dengan pendaftaran pelajar baharu berlangsung pada 12 dan 13 September lalu di kampus UMS di seluruh Sabah.
Daripada jumlah itu, 5,251 pelajar ditempatkan di Kampus Kota Kinabalu, 698 di Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.
Jumlah berkenaan merangkumi 4,325 pelajar dari Sabah, 1,021 dari Semenanjung Malaysia, 529 dari Sarawak dan 81 dari Wilayah Persekutuan Labuan, manakala 215 lagi merupakan pelajar antarabangsa dari 12 negara iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Arab Saudi, Yemen, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Timor-Leste. – SABAH MEDIA



