HomeUtamaDua premis di Labuan dikompaun gagal pamer tanda harga

Dua premis di Labuan dikompaun gagal pamer tanda harga

Read Time:1 Minute, 44 Second

LABUAN: Dua premis perniagaan di Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai pada barangan yang ditawarkan kepada pengguna.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata tindakan itu diambil susulan pemeriksaan yang dijalankan pihaknya terhadap premis perniagaan di kawasan berkenaan, Isnin lalu.

Menurutnya, tindakan pertama membabitkan sebuah restoran yang didapati tidak mempamerkan label, tag atau tanda harga jualan tunai bagi makanan siap dimasak yang dihidangkan di ruang pameran untuk dipilih pelanggan.

“Keadaan itu menyebabkan pelanggan tidak dapat mengetahui harga makanan yang dipilih sebelum membuat pembelian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pemeriksaan berasingan, katanya, sebuah pasar raya turut dikenakan tindakan selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai pada bahan pencuci yang ditawarkan untuk jualan kepada pengguna.

Beliau berkata, kedua-dua premis berkenaan dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Junaidah berkata, penandaan harga yang jelas dan mudah dilihat penting bagi membolehkan pengguna mengetahui harga sesuatu barangan atau makanan sebelum membuat keputusan pembelian.

“Harga bukanlah sesuatu yang sepatutnya menjadi tanda tanya kepada pengguna. Sama ada makanan yang dihidangkan di restoran mahupun barangan yang tersusun di rak pasar raya, pengguna berhak mengetahui harga sebelum membuat keputusan untuk membeli,” katanya.

Menurutnya, penandaan harga turut membolehkan pengguna membuat perbandingan dan pilihan berdasarkan kemampuan masing-masing, selain membantu mengelakkan kekeliruan serta pertikaian ketika pembayaran.

Katanya, amalan itu juga dapat mengurangkan aduan awam berkaitan harga yang tidak dipamerkan oleh peniaga.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua peniaga supaya tidak memandang ringan kewajipan penandaan harga dan memastikan setiap barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan mempunyai maklumat harga yang jelas, tepat serta tidak mengelirukan pengguna.

“KPDN Labuan akan terus melaksanakan pemeriksaan dan advokasi bagi meningkatkan tahap pematuhan peniaga serta memastikan urus niaga yang lebih telus dan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kegagalan mempamerkan tanda harga boleh menyalurkannya melalui saluran aduan rasmi KPDN untuk tindakan selanjutnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Miliki barang kawalan tanpa permit, lelaki didenda RM5,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular