KOTA KINABALU: Kira-kira 80 kilogram ikan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Mengalum, di sini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, bot pancung berkenaan dikesan kira-kira jam 4.30 petang ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan berkala.
“Bagaimanapun, ketika bot peronda cuba menghampiri untuk menjalankan pemeriksaan, bot berkenaan bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek berhampiran. Kesemua kru kemudiannya terjun dari bot dan melarikan diri ke daratan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemukan beberapa peralatan menyelam serta muatan ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap hasil tangkapan mendapati keputusan ujian awal adalah positif, menunjukkan ikan berkenaan dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.
“Bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 80 kilogram dengan keseluruhan nilai rampasan kira-kira RM45,000 kemudiannya disita dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia, Sepanggar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mohd Khairulanuar berkata, aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan boleh memberi kesan buruk terhadap ekosistem marin serta memusnahkan habitat dan sumber perikanan.
“Komuniti maritim dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan yang melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Orang awam juga dimohon menyalurkan maklumat dengan segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara,” katanya.
Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387 774 atau melalui MERS 999 bagi kes kecemasan di laut.



