KOTA KINABALU: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dibuka semula pada jam 11.30 malam selepas pemeriksaan keselamatan akhir selesai dilaksanakan.
Malaysia Airports (MAHB) dalam makluman terkini memaklumkan, penumpang yang menggunakan penerbangan ke dan dari lapangan terbang berkenaan dinasihatkan menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing.
Terdahulu, landasan KKIA ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan disiapkan dengan selamat, manakala hujan berterusan menjejaskan kemajuan kerja berkenaan.
Menurut kenyataan MAHB sebelum itu, penutupan sementara tersebut menjejaskan sebanyak 20 penerbangan.
MAHB turut memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan bagi menguruskan kesan terhadap operasi serta membantu penumpang yang terjejas.
Pengendali lapangan terbang itu turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul serta menghargai kesabaran dan pemahaman penumpang sepanjang tempoh operasi terjejas. – SABAH MEDIA



