KOTA KINABALU: Landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
Malaysia Airports (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan, Notis kepada Penerbang (NOTAM) telah dikeluarkan berhubung penutupan sementara landasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, penutupan tersebut adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan dilaksanakan, sebelum landasan dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan serta kerja-kerja pembersihan selesai.
“Landasan akan dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan yang diperlukan serta kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan,” menurut kenyataan berkenaan.
Susulan penutupan itu, penumpang yang mempunyai penerbangan dari atau ke KKIA dinasihatkan supaya menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan status penerbangan dan maklumat terkini.
Sementara itu, seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Faezah berkata, penerbangan yang dinaikinya turut terjejas susulan penutupan landasan berkenaan.
Menurutnya, penumpang sepatutnya menaiki pesawat pada kira-kira jam 12.40 tengah hari sebelum dimaklumkan oleh kapten pesawat bahawa landasan ditutup sementara atas keperluan operasi.
“Selepas masuk ke dalam pesawat, tiba-tiba kapten memaklumkan landasan ditutup kira-kira sejam kerana terdapat lubang di landasan dan kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan.
“Selepas kira-kira sejam berada di dalam pesawat, semua penumpang kemudian diarahkan keluar semula,” katanya.
Bagaimanapun, tempoh sebenar penutupan landasan dan status penerbangan adalah tertakluk kepada perkembangan kerja-kerja pembaikan serta pemeriksaan keselamatan yang sedang dilaksanakan.
Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan pengesahan terus daripada syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesulitan susulan perubahan operasi penerbangan.
Malaysia Airports dijangka menyalurkan kemas kini berkaitan status operasi KKIA dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi. SABAH MEDIA



