HomeUtamaRokok seludup, rampasan cecah RM4.89 juta

Rokok seludup, rampasan cecah RM4.89 juta

Read Time:2 Minute, 11 Second

SANDAKAN: Kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai terbongkar selepas 3.55 juta batang rokok dengan nilai rampasan keseluruhan RM4.89 juta ditemukan dalam Operasi Bersepadu Khas di Sungai Seguntur, di sini.

Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 45 tahun.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan berkenaan menyerbu sebuah jeti tidak berdaftar di tepi Sungai Seguntur kira-kira jam 1.30 pagi pada 15 September lalu.

“Operasi itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun serta merampas sebanyak 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

“Turut dirampas ialah sebuah lori bonded tiga tan, sebuah bot laju berukuran 30 x 10 kaki serta tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta.

Katanya, hasil maklumat susulan daripada tangkapan dan rampasan pertama, pasukan berkenaan berjaya mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.

“Pemeriksaan menemukan sebuah bot berukuran 30 x 10 kaki yang dilengkapi tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP serta muatan sebanyak 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama.

“Bot dan kesemua barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan kedua dianggarkan RM2.326 juta,” katanya.

Secara keseluruhan, operasi itu berjaya merampas 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dengan nilai rampasan RM4.89 juta.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 14 September lalu, PPM Wilayah 4 Sabah menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

Hasil pemeriksaan menemukan 43,200 tin minuman keras disyaki tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan RM478,506.

Kejayaan operasi di Sandakan dan serbuan di Kota Kinabalu itu menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kontraban PPM Wilayah 4 Sabah pada 14 dan 15 September bernilai RM5,368,506.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 15 September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 61 kes di bawah Akta Kastam 1967, melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.

Ahmad Amri berkata, kejayaan itu mencerminkan keberkesanan perkongsian risikan dan kerjasama strategik antara PPM Wilayah 4 Sabah dengan SPRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai.

PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, memperkukuh perkongsian maklumat dan mempertingkatkan kerjasama antara agensi bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibanteras secara berterusan demi keselamatan serta kepentingan negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Landasan KKIA ditutup sementara bagi kerja pembaikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular