HomeEkonomiJason Jouti dilantik Pengurus Besar Sabah Ports

Jason Jouti dilantik Pengurus Besar Sabah Ports

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Ts. Jason Jouti dilantik sebagai Pengurus Besar Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB), sekali gus meneruskan kepimpinan syarikat dalam memperkukuh peranan pelabuhan sebagai pemudah cara perdagangan, hubungan dan pertumbuhan ekonomi Sabah.

Sabah Ports dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jason mempunyai pengalaman profesional lebih dua dekad, termasuk pengalaman luas dalam industri pelabuhan.

Beliau menyertai Sabah Ports pada Mac 2012 dan pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan, khususnya dalam pembangunan infrastruktur pelabuhan, kejuruteraan, pengurusan aset dan penyelenggaraan, projek utama serta pembangunan kemudahan pelabuhan di seluruh Sabah.

Berlatarbelakangkan kejuruteraan awam, Jason memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Aset dan Penyelenggaraan dari Universiti Teknologi PETRONAS.

Beliau juga merupakan Teknologis Profesional berdaftar dalam bidang Teknologi Marin.

Sebelum pelantikan itu, Jason berkhidmat sebagai Pemangku Pengurus Besar SPSB dan terlibat dalam operasi harian syarikat, pembangunan pelabuhan serta hubungan dengan pihak berkepentingan utama.

Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rizal Dahli, berkata pelantikan Jason memberikan kesinambungan kepimpinan berdasarkan pengetahuan operasi dan pemahamannya yang mendalam mengenai Sabah Ports.

“Pelantikan Jason memberikan kesinambungan dalam kepimpinan dan saya yakin beliau akan terus memperkukuh organisasi, membangunkan warga kerja serta memastikan pelabuhan kita kekal responsif terhadap keperluan ekonomi dan komuniti perniagaan Sabah,” katanya.

Sebagai Pengurus Besar, Jason akan menerajui operasi pelbagai pelabuhan SPSB, perkhidmatan teknikal, aktiviti komersial dan inisiatif korporat.

Keutamaan beliau termasuk memperkukuh keselamatan dan kebolehpercayaan operasi, meningkatkan prestasi aset serta penyampaian perkhidmatan, memperkasa keupayaan organisasi dan mengenal pasti peluang yang mampu mewujudkan nilai jangka panjang kepada SPSB serta Sabah.

Beliau juga akan terus memperkukuh hubungan dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa pelabuhan, syarikat perkapalan, penyedia logistik, pelanggan dan pihak berkepentingan industri bagi memastikan pembangunan pelabuhan selaras dengan keperluan ekonomi dan perindustrian Sabah.

SPSB turut akan meneroka peluang memperkukuh hubungan dengan pasaran negara jiran menerusi koridor ekonomi BIMP-EAGA, selain meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan aset pelabuhan sedia ada.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Energy Corporation terbit sukuk sulung RM350 juta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular