Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, yang memberi manfaat secara langsung kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 pelajar dari seluruh pelosok Sabah menerima manfaat menerusi bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.
Beliau berkata, penubuhan TPNS berasaskan tema ‘Peluang Tajaan Untuk Semua’ membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas akses bantuan pendidikan kepada rakyat, khususnya pelajar yang memerlukan.
“Majlis ini penting kerana kita bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi kita sedang membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk terus belajar, mencapai cita-cita dan membina masa depan.
“Inilah antara tanggungjawab besar Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu, di sini, pada Jumaat

Hajiji berkata, sesebuah negeri tidak akan dapat melangkah maju tanpa sistem pendidikan yang kukuh dan berkualiti kerana pembangunan negeri bukan hanya berkaitan pembinaan jalan, jambatan, bangunan serta infrastruktur.
“Kita mesti melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu bersaing. Inilah pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah,” katanya.
Menurutnya, komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini.
Katanya, peruntukan itu memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Peruntukan ini meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020,” katanya.
Hajiji berkata, sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan turut diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban pelajar dan keluarga.
Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, mengenai bantuan yang disampaikan pada majlis berkenaan, Hajiji berkata seramai 362 penerima dari sekitar daerah Kota Kinabalu menerima manfaat berjumlah RM6.79 juta.
Beliau berkata, penyerahan bantuan pendidikan itu menjadi bukti komitmen kerajaan negeri untuk memastikan anak-anak Sabah terus mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya.
“Penyerahan bantuan pendidikan ini merupakan bukti nyata bahawa kerajaan tidak pernah membiarkan mana-mana anak Sabah tercicir daripada mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya,” katanya. – SABAH MEDIA



