HomeUtamaKenderaan ditunda berisiko dilucut hak jika tidak dituntut -DBKK

Kenderaan ditunda berisiko dilucut hak jika tidak dituntut -DBKK

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kenderaan yang ditunda Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atas kesalahan parkir berisiko untuk dilucut hak dan seterusnya dilelong sekiranya pemilik gagal menuntutnya dalam tempoh 30 hari.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kenderaan yang ditunda akan disimpan selama 30 hari sebelum pihaknya memulakan proses lucut hak terhadap kenderaan yang masih tidak dituntut.

“30 hari kita akan simpan dan lepas itu kita akan buat proses lucut hak. Lepas itu kita lelong kalau mereka tidak ambil.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 52 kenderaan setakat ini sudah melalui proses lucut hak,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Sabin berkata, pemilik kenderaan yang ditunda perlu menyelesaikan bayaran berkaitan termasuk tunggakan kompaun sebelum kenderaan berkenaan boleh dilepaskan.

Beliau berkata, caj yang dikenakan termasuk RM100 bagi kompaun kesalahan, selain RM150 bagi caj penyimpanan untuk satu malam.

“Caj penundaan adalah sebanyak RM350 dan RM100 bagi kompaun kesalahan selain RM150 bagi caj penyimpanan untuk satu malam,” katanya.

Menurutnya, DBKK juga boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap pemilik kenderaan yang gagal menyelesaikan bayaran, bergantung kepada keadaan kes.

Sementara itu, Sabin berkata, tindakan penundaan kenderaan diteruskan bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan parkir dan menggunakan lot yang disediakan.

Menurutnya, DBKK tidak terus menunda kenderaan sebaliknya akan memberikan amaran terlebih dahulu melalui siren dan pembesar suara supaya pemilik mengalihkan kenderaan.

Katanya, kemudahan parkir di Kota Kinabalu juga mencukupi, dengan kira-kira 20,000 lot parkir, termasuk sekitar 4,000 lot di kawasan luar bangunan.

“Kami minta mereka parkir di lot yang tersedia. Ia cukup, malah lebih daripada cukup,” katanya.

Beliau berkata, operasi penundaan kenderaan dilaksanakan DBKK sejak April tahun ini dan sehingga semalam sebanyak 1,385 kenderaan telah ditunda.

Sabin berkata, tindakan itu bukan semata-mata bertujuan mengutip hasil kompaun, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan parkir dan tidak mengganggu keteraturan lalu lintas di kawasan bandar. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan menantu, ibu mentua didakwa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular