HomeUtamaPemegang saham NexG lulus kembali guna nama Datasonic Group Berhad

Pemegang saham NexG lulus kembali guna nama Datasonic Group Berhad

Read Time:1 Minute, 53 Second

PUTRAJAYA: NexG Berhad bakal kembali menggunakan nama Datasonic Group Berhad selepas cadangan pertukaran nama syarikat itu mendapat kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-18, hari ini.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, semua resolusi yang dibentangkan pada AGM berkenaan diluluskan pemegang saham, termasuk cadangan menukar nama NexG Berhad kepada Datasonic Group Berhad.

Menurut NexG, langkah kembali menggunakan nama Datasonic merupakan satu pencapaian penting buat kumpulan itu, mengambil kira jenama berkenaan telah lama dikenali dalam kalangan pemegang taruh, pelanggan dan rakan perniagaan di Malaysia serta peringkat antarabangsa.

Penggunaan semula nama Datasonic juga dilihat dapat menyokong aspirasi kumpulan untuk memperluaskan kehadiran di pasaran luar negara dengan memanfaatkan pengiktirafan jenama serta hubungan perniagaan yang dibina selama ini.

Pertukaran nama itu akan berkuat kuasa selepas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan Notis Pendaftaran Nama Baharu.

Pengerusi Eksekutif NexG Berhad, Dato’ Haji Ishak Ismail berkata, syarikat menghargai keyakinan dan sokongan berterusan pemegang saham terhadap kumpulan itu.

Menurutnya, penggunaan semula nama Datasonic bukan sahaja menghubungkan kembali syarikat dengan identiti yang sudah kukuh dan dikenali, malah menandakan permulaan fasa pertumbuhan seterusnya.

“Ketika kami memperluaskan kehadiran antarabangsa, kami percaya nama Datasonic menyediakan platform lebih kukuh untuk membina hubungan sedia ada dan meneroka peluang baharu di peringkat global.

“Fokus kami kekal untuk memperkukuh perniagaan teras dalam bidang identiti selamat, melaksanakan projek sedia ada secara berkesan serta meningkatkan keupayaan melalui teknologi dan automasi,” katanya.

Dalam AGM sama, pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula pengarah yang menawarkan diri untuk dilantik semula serta pelantikan semula PKF PLT sebagai juruaudit luar.

Turut mendapat kelulusan ialah mandat umum bagi penerbitan dan peruntukan saham serta pembaharuan kuasa syarikat untuk melaksanakan pembelian balik saham.

NexG berkata, kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasi secara berdisiplin dan meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh kedudukannya dalam sektor teknologi identiti selamat.

Pada masa sama, syarikat akan meneroka peluang memperluaskan kehadiran geografinya dan mempelbagaikan sumber pertumbuhan.

NexG merupakan penyedia penyelesaian teknologi bersepadu berkaitan keselamatan di Malaysia dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak 2012.

Antara kepakaran syarikat itu termasuk kad pengenalan nasional pelbagai guna, ePasport yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), autogate berasaskan biometrik dan pengecaman wajah serta penyelesaian teknologi berkaitan keselamatan lain.

Syarikat itu menjadi penyedia bagi projek MyKad sejak 2012 dan vendor penyelesaian ePasport bersepadu kepada kerajaan Malaysia sejak 2016.

RELATED ARTICLES
Utama

CIS labur RM120 juta tambah kapasiti pengeluaran simen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular