KOTA KINABALU: Golongan pesara kerajaan masih mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang boleh terus dimanfaatkan bagi menyumbang kepada pembangunan di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Kasim Razali berkata, persaraan daripada perkhidmatan kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran kepada sumbangan seseorang kepada negeri dan masyarakat.
Sebaliknya, katanya, pengalaman yang dikumpulkan sepanjang tempoh perkhidmatan merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan untuk membantu generasi dan pentadbiran pada masa akan datang.

“Bersara ini hanya berhenti gaji, tetapi perkhidmatan kita sebenarnya boleh diteruskan sepanjang hayat.
“Pesara mempunyai pengalaman yang sangat banyak. Mereka pernah melalui pelbagai keadaan dan cabaran ketika berkhidmat, terutama ketika pembangunan di Sabah belum seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Saringan Kesihatan 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) di sini pada Rabu.
Menurut Kasim, ramai pesara terdahulu berkhidmat dalam keadaan serba kekurangan, termasuk ketika kemudahan jalan raya, teknologi komunikasi dan peralatan kerja belum berkembang seperti hari ini.
Katanya, sebahagian daripada mereka turut ditempatkan di kawasan luar bandar dan memainkan peranan dalam memastikan perkhidmatan kerajaan sampai kepada masyarakat.
“Dulu belum ada WhatsApp, TikTok, Instagram dan komputer seperti sekarang. Banyak kerja dilakukan menggunakan mesin taip dan mereka tetap menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen.
“Pengalaman seperti ini amat bernilai kerana mereka mengetahui bagaimana sesuatu keadaan dihadapi dan bagaimana keputusan dibuat pada masa lalu,” katanya.
Kasim berkata, pengalaman golongan pesara juga boleh menjadi rujukan kepada generasi muda dalam merancang serta melaksanakan pembangunan negeri.
“Mereka ini boleh kita umpamakan seperti ‘Google’. Kita boleh tanya pengalaman-pengalaman dan tindakan-tindakan yang boleh kita ambil untuk membangunkan negeri kita pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan dan masyarakat Sabah wajar menghargai jasa golongan pesara yang pernah mencurahkan tenaga, masa dan idea sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Katanya, pesara bukan sahaja mempunyai pengalaman dalam bidang masing-masing, malah masih mampu menyumbang idea berdasarkan pengetahuan yang diperoleh sepanjang berkhidmat.
Kasim turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan golongan pesara supaya mereka dapat terus menjalani kehidupan secara aktif serta menyumbang kepada keluarga dan masyarakat.
Beliau berkata pemeriksaan kesihatan secara berkala penting kerana terdapat penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan masalah buah pinggang yang boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala jelas pada peringkat awal.
“Jadi, pemeriksaan kesihatan ini sangat penting. Jangan tunggu sehingga kita sakit baru hendak pergi mendapatkan pemeriksaan,” katanya.
Menurutnya, program sedemikian bukan sahaja membantu pesara mengetahui tahap kesihatan masing-masing, malah menunjukkan keprihatinan terhadap golongan yang pernah berjasa kepada negeri dan negara.



