BERNAMA
KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak semalam untuk menjalani pemerhatian, kata anaknya Tan Sri Mokhzani Mahathir
Mokhzani berkata keadaan bapanya ketika ini adalah baik dan tidak membimbangkan, namun keputusan untuk memasukkannya ke IJN dibuat bagi membolehkan beliau diberi perhatian selepas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Beliau dimasukkan ke IJN untuk pemerhatian. Dua hari lepas sangat menekan Tun M. Buat masa ini, beliau okey dan tidak dalam keadaan yang merisaukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi, 28 Sept lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara.
Seorang lagi anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini berkata sebelum pemergian Dr Siti Hasmah, Dr Mahathir berada di IJN untuk menemani isterinya sepanjang menerima rawatan.
 Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956 dan tahun ini genap 70 tahun usia perkahwinan mereka dan pasangan itu dikurniakan tujuh anak. BERNAMA



