KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di mahkamah di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik kandungnya yang berusia 14 tahun.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di sebuah rumah dalam sebuah kampung, dekat sini, sekitar awal Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir tidak menawarkan jaminan atas alasan mangsa adalah adik kandung tertuduh dan terdapat risiko tertuduh hilang sabar.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis sebulan sekali dan tidak tinggal bersama mangsa.
Kes akan disebut semula pada 2 November.



