PENAMPANG: Daerah Penampang malam tadi diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan banjir yang melanda beberapa kampung dan laluan utama di daerah itu,di sini.
Pengisytiharan itu dibuat pada jam 10.40 malam pada Khamis oleh Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang Noemi Dyena John Tren.
Berdasarkan laporan ringkas bencana banjir yang dikeluarkan JPBD Penampang, sebanyak 15 kampung dan kawasan perumahan terjejas akibat kejadian banjir.

Antara kawasan terbabit ialah Kampung Penampang Proper, Kampung Kolopis, Kampung Sarapung, Kampung Dabak, Kampung Tanaki, Kampung Pagansakan, Kampung Nambazan, Kampung Huba, Kampung Kibabaig, Kampung Limbanak, Kampung Penampang Kondis, Kampung Sugud, Kampung Pinapah, Vista Kiranau dan Kampung Kambau.
Banjir turut menyebabkan air naik di beberapa jalan utama termasuk Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan, Jalan Sarapung, Jalan Kolopis-Boliga, Jalan Bantazon-Kolopis, Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting serta Jalan Kasigui di Kampung Kasigui.
Dalam pada itu, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

PPS Kompleks Sukan merekodkan tujuh Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 40 mangsa, manakala PPS Dewan Huguan Siou menempatkan 11 KIR dengan 31 mangsa.
PPS St Paul Kolopis pula menempatkan tujuh KIR membabitkan 18 mangsa, sementara PPS Penampang Parish Hall menempatkan 16 KIR dengan 29 mangsa.
Secara keseluruhan, seramai 41 KIR membabitkan 118 mangsa telah ditempatkan di empat PPS berkenaan.
Sementara itu, bacaan paras air Sungai Moyog direkodkan pada 9.12 meter, iaitu pada paras bahaya, sekali gus memerlukan pemantauan dan tindakan berterusan daripada agensi berkaitan.
JPBD Penampang memaklumkan laporan mengenai situasi banjir akan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan di lapangan.
Orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko turut dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa serta berpindah ke PPS yang ditetapkan sekiranya keadaan memerlukan.



