HomeUtamaPERANTIS 2026 perkasa 37 wanita ke arah kepimpinan ekonomi

PERANTIS 2026 perkasa 37 wanita ke arah kepimpinan ekonomi

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Seramai 37 wanita daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan industri diperkasa dengan kemahiran kepimpinan, pengurusan kewangan, teknologi serta strategi pertumbuhan menerusi Program Perantisan & Pementoran Kepimpinan Wanita Industri (PERANTIS 2026).

Program selama tiga hari bermula 30 September lalu di Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) itu memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai wanita berkeyakinan tinggi, berdaya saing dan mampu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ekonomi.

Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata latihan dan pementoran seperti itu penting bagi memastikan wanita bukan sahaja mempunyai pengetahuan, malah berani membuat keputusan dan memimpin organisasi atau perusahaan masing-masing.

“Wanita perlu berani melangkah ke hadapan, yakin membuat keputusan serta bersedia memanfaatkan teknologi dan peluang baharu.

“Ilmu yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada tindakan supaya mampu memberikan impak kepada diri, organisasi dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PERANTIS 2026 adalah inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Sabah, dianjurkan Primal Impact Sdn Bhd dengan IDS sebagai rakan strategik.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada aspek kepimpinan diri, nilai Malaysia MADANI, komunikasi dan pengurusan emosi, selain kemahiran kewangan, rundingan industri, tadbir urus serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.

Peserta turut dibimbing dalam strategi pertumbuhan dan inovasi serta menyediakan Pelan Tindakan Kepimpinan Individu untuk dibentangkan kepada mentor.

Setiap peserta turut menetapkan sasaran kepimpinan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu bagi tempoh tiga bulan, disusuli sesi pementoran selepas program bagi memantau perkembangan masing-masing.

Sementara itu, wakil JPW, Liu Kim Pau @ Jesicca, ketika berucap pada majlis penutupan merakamkan penghargaan kepada Primal Impact Sdn Bhd, IDS serta semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Beliau berharap PERANTIS dapat menjadi platform melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa, khususnya di Sabah, selain membantu wanita memanfaatkan teknologi, memperkukuh keupayaan ekonomi dan meningkatkan pendapatan.

Program berkenaan diakhiri dengan penyampaian sijil kepada kesemua 37 peserta sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka sepanjang mengikuti program.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah harap bayaran RM900 juta dilunaskan tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular