HomeUtamaSabah harap bayaran RM900 juta dilunaskan tahun ini

Sabah harap bayaran RM900 juta dilunaskan tahun ini

Read Time:1 Minute, 30 Second

RANAU: Kerajaan Sabah berharap bayaran RM900 juta yang telah dijanjikan kepada negeri itu dapat dilunaskan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada penjelasan bayaran interim pemberian khas kepada negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara berkenaan antara harapan utama kerajaan negeri menjelang pembentangan Belanjawan Negara yang dijadualkan pada Oktober ini.

“Harapan saya ialah tumpuan diberi kepada, pertamanya ialah, walaupun ini telah pun diumumkan, bayaran RM900 juta yang telah pun dijanjikan dapat dibayar pada tahun ini.

“Iaitu di bawah sebahagian daripada penjelasan interim bayaran 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis graduasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini pada Sabtu.

Kerajaan Persekutuan pada Mei lalu mengumumkan peningkatan bayaran interim Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini, berbanding RM600 juta sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan itu merupakan langkah sementara sementara mekanisme pelaksanaan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah seperti diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimuktamadkan melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri sebelum ini turut menegaskan bahawa bayaran interim RM1.5 bilion itu tidak boleh ditafsirkan sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak Sabah, dengan negeri itu kekal mempertahankan pelaksanaan formula 40 peratus seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, selain bayaran berkenaan, kerajaan negeri turut berharap kementerian-kementerian Persekutuan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah diberikan peruntukan lebih besar menerusi Belanjawan Negara.

Menurut beliau, peningkatan peruntukan diperlukan bagi memastikan pelbagai keperluan pembangunan dan perkhidmatan awam di Sabah dapat diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, antara sektor yang memerlukan perhatian ialah kesihatan, khususnya berkaitan penempatan doktor serta kemudahan dan perkhidmatan sokongan di hospital luar bandar.

Masidi berkata, isu berkenaan perlu diberikan tumpuan dalam pembentangan belanjawan akan datang bagi membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Penempatan doktor di Sabah perlu diberi perhatian serius – Masidi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular