HomeUtamaSampel organ, kandungan perut gajah ditemukan mati dihantar untuk analisis

Sampel organ, kandungan perut gajah ditemukan mati dihantar untuk analisis

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah  mengambil sampel organ dan kandungan perut seekor gajah jantan yang ditemukan mati di Sungai Kinabatangan untuk analisis makmal bagi membantu menentukan punca sebenar kematiannya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, bedah siasat terhadap gajah berkenaan dijalankan JHL pada 1 Oktober selepas bangkainya ditemukan dan dibawa ke tebing sungai.

Katanya, analisis makmal itu penting bagi melengkapkan hasil pemeriksaan fizikal serta bedah siasat yang telah dijalankan.

“Pada peringkat ini, punca sebenar kematian masih belum dapat ditentukan. Kita sedang menunggu keputusan makmal serta hasil lengkap bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Gajah berkenaan ditemukan di Sungai Kinabatangan berhampiran Ladang Angco Jaya dan Lot 4, Santuari Hidupan Liar Kinabatangan.

Menurut Jafry, Jabatan Hidupan Liar pada awalnya menerima laporan mengenai penemuan seekor gajah mati di sungai berhampiran Ladang Pontian.

Susulan itu, pasukan Rapid Response Team (RRT) bersama Renjer Hidupan Liar Kehormat dari Sukau menjalankan pemeriksaan sebelum menemukan bangkai berkenaan yang dipercayai telah hanyut mengikut arus sungai dari lokasi asal.

Bangkai gajah itu kemudian ditarik ke tebing dengan bantuan jentera daripada Ladang Angco Jaya bagi membolehkan pemeriksaan fizikal dan bedah siasat dijalankan.

“Gajah itu dikenal pasti sebagai gajah jantan, kira-kira enam kaki tinggi dan dianggarkan berusia antara 14 hingga 18 tahun.

“Berdasarkan keadaan bangkai, ia dianggarkan telah mati kira-kira empat hingga lima hari sebelum pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Jafry berkata, pemeriksaan turut menemukan beberapa kecederaan pada gajah berkenaan, manakala kedua-dua gadingnya didapati hilang.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kecederaan, kehilangan gading atau sebab kematian selagi siasatan dan analisis saintifik belum lengkap.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap semua aspek kes ini, termasuk keadaan berkaitan kehilangan gading.

“Jabatan itu juga mengambil keterangan daripada individu yang pertama kali melaporkan kejadian berkenaan sebagai sebahagian daripada siasatan susulan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur penglibatan manusia atau pelanggaran undang-undang hidupan liar.

Dalam pada itu, Jafry meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Kita perlu memberi ruang kepada Jabatan Hidupan Liar untuk melengkapkan siasatan dan mendapatkan keputusan makmal.

“Tiada spekulasi mengenai punca kematian sehingga hasil kajian saintifik dan siasatan selesai,” katanya.

Beliau berkata, perlindungan hidupan liar Sabah merupakan tanggungjawab yang dipandang serius dan setiap kejadian seumpama itu perlu disiasat secara menyeluruh serta berasaskan bukti.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah harap bayaran RM900 juta dilunaskan tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular