HomeUtamaKompaun parkir cecah RM40,000, DBKK pertimbang rayuan dan ansuran

Kompaun parkir cecah RM40,000, DBKK pertimbang rayuan dan ansuran

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Pemilik kenderaan yang berdepan jumlah kompaun parkir terkumpul yang tinggi boleh mengemukakan rayuan dan memohon pembayaran secara ansuran kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kemudahan berkenaan merupakan antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan DBKK bagi membantu pemilik kenderaan menyelesaikan tunggakan mereka.

Beliau berkata, setiap permohonan akan dirujuk berdasarkan rekod serta keadaan kes masing-masing, termasuk jumlah kompaun yang masih belum dijelaskan.

Menurutnya, terdapat kes pemilik kenderaan yang mempunyai rekod kesalahan parkir berulang dengan jumlah kompaun terdahulu yang tinggi.

“Dalam sesetengah kes, jumlah kompaun boleh mencecah sehingga 200 kompaun dengan nilai terkumpul sehingga RM40,000.

“Ini menunjukkan terdapat kesalahan berulang dan tanggungan yang terkumpul,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Sabin berkata, pemilik kenderaan yang berdepan situasi berkenaan disaran tidak membiarkan tunggakan terus terkumpul, sebaliknya segera mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

Katanya, mereka boleh mengemukakan permohonan untuk bayaran secara ansuran selain membuat rayuan sekiranya berdepan jumlah kompaun terkumpul yang tinggi.

“Permohonan pembayaran secara ansuran dan rayuan jumlah kompaun terkumpul yang tinggi boleh dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, urusan berhubung rekod kompaun, permohonan ansuran dan tuntutan kenderaan boleh dibuat terus dengan Jabatan Penguatkuasaan DBKK bagi memastikan setiap kes disemak berdasarkan rekod sebenar.

Dalam pada itu, Sabin menegaskan tindakan penguatkuasaan parkir termasuk penundaan kenderaan dilaksanakan bagi memastikan jalan raya dan laluan pejalan kaki tidak terhalang.

Katanya, tindakan berkenaan penting bagi menjaga keselamatan serta kepentingan pengguna awam, terutama di kawasan yang sering mengalami masalah parkir berganda dan halangan lalu lintas.

Antara kawasan yang kerap menerima aduan ialah Pasar Besar Kota Kinabalu, Anjung Kinabalu, Sinsuran dan kawasan pasar malam SAFMA.

Sabin berkata, orang ramai juga perlu menggunakan kemudahan parkir yang sah serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesalahan berulang dan tindakan penguatkuasaan.

DBKK, katanya, akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, adil dan konsisten, selain menggalakkan pemilik kenderaan menyelesaikan sebarang tunggakan berdasarkan saluran yang disediakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Presiden Star Sokong Anifah, gesa ikrar kebebasan beragama Batu Sumpah Keningau...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular