TAWAU: Tiga lelaki warganegara asing ditahan selepas dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan dalam satu operasi membanteras pendatang tanpa izin (PTI) di Jeti Awam CIQS Lama di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Rosdi Mat Jusoh berkata, sepasukan polis daripada Unit Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (BKDNKA) IPD Tawau menjalankan pemerhatian di kawasan berkenaan hasil maklumat awam.
“Hasil pemerhatian, pasukan polis berjaya mengesan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan di hadapan kawasan pos pemeriksaan PDRM.
“Pemeriksaan lanjut terhadap ketiga-tiga suspek tidak menemui sebarang barang salah, namun mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil temu bual awal mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut dipercayai telah memasuki Malaysia melalui laluan alternatif yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Rosdi berkata, warga asing yang masing-masing berusia antara 25 hingga 52 tahun itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Rosdi menjelaskan Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti penyeludupan, kemasukan PTI serta ketirisan di kawasan jeti awam yang dikenal pasti sebagai antara laluan masuk ke bandar Tawau.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui atau mengesyaki sebarang aktiviti kemasukan individu tanpa dokumen sah bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.



