HomeUtamaPeniaga runcit dikompaun guna alat timbang tamat tempoh

Peniaga runcit dikompaun guna alat timbang tamat tempoh

Read Time:1 Minute, 21 Second

LABUAN: Seorang peniaga runcit dikenakan tindakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh tentusah bagi tujuan perdagangan di kawasan luar bandar Labuan di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati peniaga terbabit menggunakan alat timbang jenis neraca spring dua muka dengan had terima 20 kilogram (kg) yang tempoh tentusahnya telah tamat.

“Peniaga terbabit telah dikenakan tindakan kompaun kerana menggunakan alat timbang yang tempoh tentusahnya telah tamat, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

“Pemeriksaan ini menunjukkan bahawa penguatkuasaan KPDN dilaksanakan tanpa mengira lokasi perniagaan, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya dalam kenyataandi sini pada Isnin.

Junaidah berkata, setiap peniaga bertanggungjawab memastikan peralatan timbang dan sukat yang digunakan dalam urusan perdagangan sentiasa mempunyai tentusah yang sah.

“Penggunaan alat timbang dan sukat yang mempunyai tentusah sah amat penting bagi memastikan bacaan yang tepat serta menjamin urusan jual beli yang adil antara peniaga dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, peniaga juga perlu mendapatkan tentusah semula sebelum tempoh berkenaan berakhir bagi memastikan peralatan yang digunakan sentiasa mematuhi ketetapan undang-undang.

“Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 71, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Junaidah berkata, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh Labuan bagi memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.

“Lokasi perniagaan bukan alasan untuk mengabaikan pematuhan undang-undang. Semua peniaga perlu memastikan alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan berada dalam tempoh tentusah yang sah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

16 perkara MA63 selesai, 10 masih dalam rundingan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular